KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor memberitahu, pihaknya meningkat elemen risikan di seluruh negeri bagi memantau dan mengekang perkembangan aktiviti teroris Daesh.

Ini berikutan perkembangan di negara jiran apabila Tentera Filipina melancarkan operasi besar-besaran di bahagian Selatan negara itu, terutamanya di Marawi.

Terdapat berita yang mengatakan bahawa pemimpin utama militan tersebut yang berasal dari negara ini berjaya menyusup keluar dari kawasan kepungan.

Menurut Mazlan, yang pasti Sarawak masih bebas daripada ancaman Daesh.

“Pun begitu, kita tidak memandang ringan sebarang kemungkinan, dan kerana itu pemantauan dilipatgandakan,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbukanya di Jalan Maxwell di sini.

Ia merupakan Rumah Terbuka Aidilfitri terakhirnya di Kuching kerana Mazlan dikhabarkan akan berpindah tugas sebagai Ketua Polis Selangor pada bulan depan.

Mazlan yang senada dengan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar berkata, kerjasama semua agensi kini semakin mengukuh dalam memastikan sempadan negara tidak ditembusi.

Berkaitan tragedi kematian akibat letupan mercun, Mazlan berkata ia kes terpencil, namun memberi pengajaran yang besar.

“Ibu bapa perlu memantau dan memastikan anak-anak mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan.

Beliau berasa sedih dan kesal, insiden tersebut berlaku di ambang Syawal pada tahun ini. – Sarawakvoice