KABONG: Cuaca yang cukup baik sejak awal pagi lagi memudahkan penduduk di sini untuk keluar bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri sempena 1 Syawal di Masjid Assabirin di sini pada pagi ini.

Penduduk mula keluar untuk ke masjid seawal jam 6 pagi dan seterusnya bersama-sama bertakbir Hari Raya sehingga tiba waktu solat sunat Aidilfitri yang bermula jam 8 pagi.

Masjid yang penuh sesak dengan kehadiran ribuan jemaah menyaksikan penduduk terpaksa solat di luar masjid. Keadaan itu sememangnya berlaku setiap tahun lantaran masid gagal menampung kehadiran jemaah.

Sebelum solat sunat Aidilfitri beberapa petugas masjid bergerak mengutip sumbangan yang disebut penduduk di sini sebagai ‘duit sadaq’ daripada para jemaah. Seramai 14 petugas kesemuanya bergerak bagi tujuan itu dan kutipan biasanya mencecah lebih RM5,000.

Kabong yang merupakan kampung Melayu terbesar di negeri ini. Dengan kemudahan perhubungan jalan raya yang baik menyaksikan sambutan Hari Raya akan sentiasa meriah dan masjid akan penuh sesak dengan kehadiran jemaah.

Pada malam semalam, kelaziman bagi masyarakat Islam di sini sebaik pengumuman Hari Raya ter siar di media, sesi takbir Hari Raya bermula di masjid dan surau-surau selepas solat Isyak.

Kesempatan Aidilfitri juga dimanfaatkan anak-anak dan keluarga yang di perantauan balik kampung bagi mengunjungi keluarga dan sanak-saudara yang telah lama tidak dijenguk.

Selain itu, sesuatu yang turut dapat disaksikan pada pagi 1 Syawal, kanak-kanak akan mencari duit raya dengan aktiviti menjaga kasut para jemaah di luar masjid bagi mendapatkan sedikit sumbangan daripada para jemaah yang menggunakan perkhidmatan mereka demi keselamatan alas kaki mereka ketika berada di situ.

Semoga Hari Raya pada tahun ini akan membawa sinar yang lebih cerah dan bergemerlapan buat penduduk di sini dan umat Islam di seluruh Malaysia. – Sarawakvoice