‘Siasat Tun Mahathir kerana miliki kekayaan luar biasa,’ gesa AJK parti kepada SPRM

Grafik Wakeupmalaya

SHAH ALAM:  Siasat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memiliki kekayaan luar biasa.

Itulah gesaan Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Wan Mohamad Ashraf Nasjaruddin semalam terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gesaan ini merupakan yang kedua terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Sebelum ini Exco Armada parti berkenaan turut membuat desakan sama, dan susulan itu dituduh sebagai pengkhianat.

Grafik Wakeupmalaya

Keluarga Perdana Menteri paling lama memerintah itu didakwa memiliki  kekayaan luar biasa dengan memiliki banyak syarikat.

“Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, keluarga Dr Mahathir memiliki 488 syarikat di dalam negara, termasuk yang dimiliki Dr Mahathir sendiri serta empat anaknya.

Mahathir dituduh terjebak dalam pelbagai skandal, termasuk Perwaja, BMF dan kerugian urus niaga mata wang asing pada tempoh pemerintahannya selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Menurut Wan Mohamad yang diiringi ahli lain dalam sidang media semalam, siasatan  berkenaan perlu agar rakyat mengetahui sama ada Mahathir seorang pemimpin yang bersih atau sebaliknya.

Sidang media  itu diadakan selepas membuat laporan dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada SPRM di sini.

“Kita  mahu desak siasatan segera dan telus dilakukan  SPRM sebelum PRU-14,” tegasnya.

Ujarnya, beliau bersedia berdepan sebarang tindakan oleh partinya, dan tidak takut membuat pendedahan itu.

“Saya sama sekali tidak akan bertindak keluar parti,” katanya sambil menambah, beliau tiada kisah jika dipecat susulan kenyataan itu, kerana perjuangannya adalah demi rakyat.

Mahathir kini ialah pengkritik paling lantang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, membabitkan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Serangan bertubi-tubi beliau dilakukan melalui ceramah dan blognya.

Penganalisis berkata, Mahathir dijangka akan terus melancarkan serangan bertalu-talu  terhadap Najib sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14. – Sarawakvoice