Sunday, August 14, 2022

Sabah mahu bincang isu Cukai Pelancongan dengan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengalu-alukan cadangan mengecualikan rakyat Malaysia membayar cukai pelancongan bagi penginapan di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

Rang Undang-udang Cukai Pelancongan diluluskan Parlimen pada April 2017 terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Persekutuan.

Bagi beliau, pengecualian itu memberi manfaat kepada rakyat dalam negara kerana terdapat banyak hotel seperti itu di negara ini, terutama di Sarawak.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet Negeri pada Jumaat, Karim berkata wang yang dikutip melalui cukai pelancongan digunakan untuk mempromosi semula pelancongan.

Sarawak menurut Karim, menguruskan penggunaan wang berkenaan melalui Lembaga Pelancongan Sarawak.

Di Kota Kinabalu, berkaitan isu yang sama, menurut Bernama Kerajaan Sabah mempelawa Kementerian Pelancongan Sarawak membincangkan beberapa isu penting berkaitan Cukai Pelancongan berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun mahu hasil perbincangan itu nanti dikemukakan kepada kedua-dua ketua menteri dan Kabinet Negeri masing-masing.

Draf memorandum berkenaan kemudian akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan.

Kabinet Sabah yang bermesyuarat pada Khamis berpendapat beberapa isu penting berkaitan akta itu perlu dibincang secara terperinci bagi memastikan industri pelancongan Sabah mendapat manfaat daripadanya.

Masidi berkata, industri pelancongan merupakan industri yang sangat penting serta diurus oleh penduduk tempatan, kadangkala menjadi penyelamat ekonomi Sabah pada waktu mencabar. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru