Tuesday, December 6, 2022

Pemuda Umno: Biarlah pembangkang bak luncai terjun dengan labu-labunya

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kajian sebuah badan kononnya tahap sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan merosot sehingga 25 peratus tidak lebih sekadar usaha pembangkang  bagi mengalihkan pelbagai isu dan kemelut yang  mencengkam parti pembangkang ketika ini, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar.

Dapatan hasil kajian berkenaan, katanya terdedah kepada dipertikaikan kerana ia dilaksanakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Invoke, yang diselaraskan oleh Ahli Parlimen Pandan, yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Jamawi Jaafar

“Biarlah beliau dengan dakwaan tersebut…kalau nak buat kajian dan macam-macam kajian sesiapa pun boleh buat dan biarkanlah mereka sebegitu… bak luncai yang terjun dengan labu-labunya,” ujarnya yang mempertikaikan dapatan kajian berkenaan.

“Mereka boleh kaji dan kata apa pun sebab tujuan mereka hanya nak alih isu. Dengan isu siapa bakal calon PM dalam kalangan mereka, kemelut dalam PPBM serta kewujudan kem-kem tertentu di dalam PKR, projek mewah DAP  menambahkan lagi barah dalam pakatan pembangkang,” katanya.

Pakatan Harapan kini diwakili DAP, PKR, PPBM dan Amanah selepas Pas tidak lagi menyertainya.

“Sebab itu tidak pelik dan bukan memeranjatkan pun NGO yang diselaraskan oleh Rafizi itu membuat kajian sehinggalah ke Pekan, Pahang,” ujarya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa tahap sokongan kepada BN di kerusi parlimen  yang diwakili Perdana Menteri penurunan ketara sehingga hampir 25 peratus.

Penyelaras Invoke, Rafizi Ramli, berkata Kerusi Pekan adalah antara kawasan memiliki pengundi Felda yang menunjukkan perubahan sokongan untuk BN.

Terdapat 52 kerusi Parlimen di kawasan Felda di negara ini, dengan penganalisis politik menyatakan pentingnya kawasan terbabit dimenangi BN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum nanti.

Kata Rafizi, dapatan analisis Invoke mendapati sokongan rakyat kepada BN di 45 daripada 52 kawasan yang mempunyai penempatan Felda menunjukkan penurunan.

Tambah Jamawi,  adalah masih terlalu awal untuk membuat jangkaan dan hanya rakyat yang mempunyai hak membuat keputusan pada PRU-14.

Katanya seperti dipetik UMNO-Online, hari ini, apa yang penting khususnya bagi pergerakan Pemuda Umno adalah untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin agar rakyat mendapat manfaat yang sebaiknya daripada kerajaan yang ditunjangi BN. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru