Sunday, September 25, 2022

Kerugian urus niaga mata wang: Mahathir sedia tampil jawab tuduhan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sedia hadir di  hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi inkuiri yang ditubuhkan secara sah untuk menjawab sebarang tuduhan terhadap beliau berkaitan kerugian urus niaga dalam mata wang asing ketika di bawah pemerintahannya pada dekad 1980-an dan 90-an, kata peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan di Facebook.

Katanya, bekas Perdana Menteri Mahathir secara konsisten menyatakan dengan jelas bahawa beliau tiada masalah untuk hadirkan diri di mana-mana mahkamah ataupun inkuiri yang ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang, bagi tujuan menjawab segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap beliau oleh sesiapa sahaja.

“Perlu ditekankan, bahawa Mahathir tidak pernah langsung dipanggil untuk membantu siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK), sejak ia ditubuhkan sehingga kini,” katanya.

Mohamed Haniff berkata, mana-mana pihak yang dituduh perlu diberi peluang dalam prosiding RCI tersebut.

Tambahnya, mereka perlu dibenarkan melaksanakan hak membela diri dengan menyoal balas saksi-saksi pihak pengadu dan pendakwa.

“Malah, mereka juga mesti dibolehkan menampilkan saksi-saksi serta keterangan dan bukti pihak pembelaan,” tegasnya dalam kenyataan itu lagi.

Mohamed Haniff merujuk  PPK yang ditubuhkan Kabinet pada Februari lalu untuk menyiasat kerugian Bank Negara kira-kira 25 tahun lalu dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Kabinet  sebelum ini bersetuju dengan syor PPK agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kes kerugian urus niaga mata wang asing terbabit.

Ketika Mahathir memerintah selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, antara skandal yang menggemparkan  ialah kerugian urus niaga mata wang asing, BMF dan Perwaja.

Barry Wain dalam biografi Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times menulis, pada dalam skandal berkenaan, Bank Negara Malaysia kerugian antara RM16 bilion hingga RM31 bilion.

Pada hari tertentu BNM menurut beliau  melakukan urus niaga antara US$1 bilion hingga US$5bilion.

Ketika sudah bersara, menurut penulis biografi itu lagi, Mahathir mengakui bahawa beliau telah memberi lampu hijau kepada BNM meneruskan urus niaga mata wang.

Kata Mahathir dalam buku itu: “They (BNM) had a trading room and they informed us, and I went to see the trading room. I was quite impressed…I thought it was great and I did not disapprove of it.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru