Anwar Ibrahim puas hati dengan Pasukan Petugas Khas Forex

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengakui berpuas hati dengan ruang yang diberikan kepada beliau oleh Pengerusi Tan Sri Sidek dan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (PPK) Forex yang menyiasat kerugian urus niaga  mata wang asing pada dekad 1980-90-an ketika di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kesempatan ketika dipanggil PPK pada 20 April lalu, Anwar yang kini meringkuk di dalam penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat berkata, telah menjelaskan antara lain, bahawa sebaik menyandang jawatan Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Zain Azraai Zainal Abidin ada menyentuh urusan dagangan mata wang oleh Bank Negara Malaysia.

Menurut Zain, kata Anwar, sejak 1989, Perbendaharaan Amerika (Fed); Bank Pusat England dan IMF telah memaklumkan bahawa penglibatan BNM dalam urusan tersebut dianggap membimbangkan.

Berikutnya,  jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, dalam taklimat Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Jaafar Hussein, menafikan keterlibatan BNM sambil menekankan bahawa penglibatan BNM adalah sah sekadar mempertahankan kedudukan ringgit dalam pasaran.

Ujarnya, masalah mula dikesan laporan yang membimbangkan daripada media antarabangsa dan pasaran Zurich, sekitar akhir 1991 dan awal 1992, dan perkara tersebut dikemukakan semula kepada Gabenor BNM.

Ujarnya, Jaafar memberikan keterangan yang sama dan memaklumi bahawa Pengarah Urusan tersebut di BNM ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Namun, menurut Anwar lagi, manakala draf awal audit BNM 1991 dibentangkan, Perbendaharaan melahirkan kebimbangan.

“Gabenor BNM akui jumlah terlibat adalah lebih besar dari yang dijangka. Memandangkan saya dan Kementerian Kewangan tidak dimaklumkan mengenai hal tersebut, Gabenor sendiri yang menjelaskan kepada media dengan menyebut ‘kerugian atas kertas’,” katanya.

Berikut itu, Anwar menjelaskan dia terpaksa menangani permasalahan tersebut di Parlimen, terutama persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang ketika itu, Lim Kit Siang.

“Kerajaan memberikan penjelasan BNM sambil menjelaskan keutuhan ekonomi. Namun, saya menegaskan arahan agar BNM menghentikan dagangan Forex tersebut,” tambahnya.

“Dari perkembangan tahun berikutnya, 1993, ternyata urusan tersebut diteruskan; dan jumlah kerugian ketika itu, dianggar sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion,” katanya.

Menurutnya, Gabenor BNM membuat pengakuan kepada beliau bahawa Nor Mohamed tidak memberi laporan tepat kepadanya dan beliau telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai petugas yang bertanggungjawab.

“Tan Sri Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya, walaupun saya akui kewibawaannya dan percaya bahawa beliau tidak diberikan keterangan lengkap oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Anwar Tan Sri Ahmad Don yang mengambil alih tugas Gabenor BNM pada tahun 1994 telah bertindak menghentikan dagangan tersebut, dan mula membayar kerugian sekitar RM500 juta setiap tahun.

“Pengurusan BNM bertambah mantap, diperkemas dengan laporan dasar yang lebih teratur kepada Menteri Kewangan,” katanya.

Jumlah kerugian akhirnya, jelas beliau, dianggarkan sekitar 15 hingga 30 bilion ringgit tertakluk kepada cara BNM mengaudit dan mencatat potongan ‘contingency fund’, ‘reserve fund’, ‘insurance fund’; kos membendung inflasi dan mempertahan ringgit.

Kerajaan semalam bersetuju  atas syor Pasukan Petugas Khas (PPK)  menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membolehkan siasatan terhadap kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an diteruskan.

Kenyataan itu berkata, PKK yang ditubuhkan  pada Februari bagi menyiasat kerugian tersebut, mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen,

Anwar dipenjarakan pada September 1998 kerana didapati bersalah atas kes liwat oleh mahkamah.

Nor Mohamed pula dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik Menteri Kewangan Kedua pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat bahawa beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara,” jelas Anwar.

Dalam pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas Forex April lalu,  Anwar mendedahkan betapa beliau menegaskan keperluan dibekalkan dengan laporan dan dokumen untuk memastikan perjalanan lebih telus dan teratur. – Sarawakvoice