Tuesday, June 28, 2022

Tentera Darat lancar Program Jiwa Murni bantu mangsa kebakaran Uma Badeng di Sungai Asap

Secara Rawak

BINTULU: Simpati akan nasib yang dialami penghuni Uma Badeng, Sungai Koyan di Sungai Asap yang terlibat dalam kebakaran semalam, Briged Ke-31 Infantri akan melaksanakan Program Jiwa Murni di penempatan tersebut.

Menurut Panglima Briged Ke 31 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Fadzil Tajudin, pihaknya telah mengatur gerak pasukan terdekat iaitu Batalion ke-7 Rejimen Sempadan (RS) untuk melaksanakan misi bantuan kepada mangsa terbabit.

“Misi ini dilakukan dengan penghantaran bantuan bekalan makanan dan peralatan dapur daripada Pasar Raya Am di Bintulu ke Uma Badeng di Belaga.

“Seramai dua pegawai dan enam anggota dari pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan terlibat dalam misi ini, yang menggunakan sebuah trak tiga tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux,” katanya lagi.

Terdahulu Batalion Kedua Rejimen 510 Askar Wataniah terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota turut terlibat bersama-sama agensi kerajaan lain membantu mangsa terlibat.

Dalam kebakaran semalam, rumah panjang 15 pintu itu gagal diselamatkan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bantuan kerja-kerja pembersihan tapak kebakaran akan dimulakan esok dan beberapa jentera dijangka akan tiba dari Bintulu.

Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan juga akan menghantar seramai 15 ke 20 anggota untuk membantu kerja-kerja pembersihan tapak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru