KABONG: Seramai 73 murid Sekolah Kebangsaan Abang Leman (SKAL) menerima sumbangan duit raya dan juga kuih raya pagi ini.

Murid terlibat yang dikategorikan sebagai asnaf, anak yatim dan anak angkat sekolah masing-masing menerima duit raya berjumlah RM50 beserta kuih raya dan juga coklat.

Sumbangan disampaikan kepada penerima terlibat oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Abang Leman Kabong, Haji Bujang Haji Lee.

Jurucakap Panitia Pendidikan Islam SKAL, Nazmi Jaafar memberitahu, untuk menjayakan program tersebut pihak sekolah memperoleh sumbangan daripada beberapa pihak seperti Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Telekom Berhad, sumbangan guru dan juga daripada orang perseorangan.

“Sehubungan dengan itu pihak kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para penyumbang yang telah bermurah hati menghulur sumbangan untuk diagihkan kepada yang layak dan kurang kemampuan bagi memberi kebahagiaan kepada mereka terlibat.

“Dengan sedikit sumbangan ini pihak kami berharap murid terlibat akan turut beraya dengan gembira sebagaimana orang lain yang lebih mampu bergembira menyambut ketibaan 1 Syawal,”ujarnya.

Program berkenaan merupakan program tahunan sekolah itu dan sentiasa mendapat sokongan daripada beberapa penyumbang dalam membantu menjayakannya. – Sarawakvoice