MIRI: Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pusat Miri petang semalam berhubung penipuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N74 Pujut, Dr Ting Tiong Choon berhubung status kewarganegaraannya sewaktu Pilihan Raya Umum Negeri pada 7 Mei tahun lalu.

Laporan tersebut memetik, pengadu seorang wanita berusia 33 tahun sebagai pengundi pendaftar berasa terkilan kerana wakil rakyat tersebut telah menyembunyikan status sebenarnya, ketika mendaftarkan pencalonan.

Dalam laporan pada jam 5.40 petang itu, pengadu memberitahu, Tiong Choon yang juga pemegang kad pengenalan Malaysia telah memperoleh kerakyatan Australia pada 20 Januari 2010.

“Pada masa yang sama beliau masih memegang kad pengenalan Malaysia yang mengandungi maklumat salah.

“Di bawah Peraturan 14(1)(c) Akta Pendaftaran Negara 1990 (PU (A) 472), Tiong Choon bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Pejabat Pendaftaran Negara bahawa beliau telah memperoleh kerakyatan Australia.

“Seterusnya, Tiong Choon perlu memohon penggantian kad pengenalan baharu.

Katanya, kegagalan membuat tindakan tersebut, serta pelanggaran peraturan tersebut menjebakkan Tiong Choon kepada perlakuan jenayah.

Pengadu mendakwa, kad pengenalan yang seharusnya ditukar itu telah digunakan oleh Tiong Choon untuk dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya pada Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri 2016 di kawasan DUN Pujut.

“Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, saya telah berasa tertipu dan bertindak membuat laporan ini.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat ‘penipuan’ yang dilakukan oleh Tiong Choon, terutamanya di bawah Akta Pendaftaran Negara 1990 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1964,” katanya lagi. – Sarawakvoice