Saturday, June 25, 2022

Ketua Kaum maut dilanggar lari di Puncak Borneo

Secara Rawak

PADAWAN: Lagi insiden langgar lari. Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Batu 17, Jalan Puncak Borneo di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, mangsa, Jepus June, 53 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian setelah parah dilanggar dari arah belakang.

Kejadian yang menimpa Ketua Kaum Kampung Sigandar itu dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi tadi.

Ketika itu mangsa dalam perjalanan menuju ke pusat bandar sebelum dirempuh oleh sebuah kereta.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah pada muka, badan dan tangan.

Bingkok berkata, pihaknya masih memburu suspek yang juga pemandu dan kereta yang terlibat.

“Bagaimanapun, siasatan awal berjaya menemui serpihan nombor pendaftaran serta bumper kereta suspek.

“Kita berharap saksi dan orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut tampil membantu pihak polis untuk siasatan lanjut.

Mayat mangsa katanya, telah dibawa ke Jabatan Foresnik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru