KABONG: Basil anak Thomas,46 tahun, terus menampilkan diri di hadapan khalayak dalam usahanya memenangi hati pihak atasan agar memberi kepercayaan kepadanya sebagai calon untuk kawasan Parlimen P.205 Saratok.

Dalam penampilannya bertemu penduduk di kawasan DUN N.40 Kabong, Basil menghulur sumbangan berupa 100 kilogram buah kurma dan 100 kotak air mineral untuk masjid dan surau.

Sumbangan itu diserahkan kepada pihak pengurusan masjid dan lima buah surau di Kabong, Kampung Alit (2 buah) dan Kampung Gerigat (2 buah).

Menurut Basil, sumbangan serupa kepada penduduk Kampung Sessang Nyabor dan Emplam, akan diagihkan dalam masa terdekat.

Basil yang bergerak dengan disertai beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti SPDP dan sekarang ini dikenali sebagai Parti Demokratik Rakyat ( PDP ) berjumpa dengan wakil penduduk  kampung-kampung terlibat bagi tujuan menyerahkan sendiri sumbangan tersebut.

Kerusi Parlimen P.205 Saratok pada masa kini menimbulkan spekulasi yang pelbagai berikutan Parti Tenaga Rakyat (TERAS) yang diterajui oleh Tan Sri William Mawan Ikom iaitu penyandang kerusi kawasan itu bukan merupakan parti komponen Barisan Nasional.

Situasi tersebut kini diintai dengan penuh minat oleh beberapa individu termasuk Basil yang mempromosi diri untuk menjadi calon kawasan itu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 kelak.

Mawan dalam PRU yang lalu memenangi kerusi berkenaan ketika menjadi Presiden SPDP yang kemudiannya keluar dari parti itu dan membentuk TERAS.

Basil merupakan seorang usahawan yang mengendalikan syarikat berkaitan minyak dan gas yang beribu pejabat di Miri. Beliau berasal dari Kabo Awik Krian, Saratok dan merupakan lulusan daripada universiti luar negara.

Selain Basil, turut dikaitkan dengan kerusi panas P.205 Saratok sekarang ini ialah Subeng Mula dan Dr. James Chella. – Sarawakvoice