BAU: Seorang wanita maut setelah kenderaan Proton Saga yang ditumpangnya terbabas lalu terbalik di dalam parit di Jalan Stass, Kampung Stass, dekat sini awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat insiden sekitar jam 5.10 pagi tadi.

“Sebuah jentera FRT dan sebuah ambulans EMRS kemudian diatur gerak segera ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau, dengan kekuatan 10 anggota.

“Setiba di lokasi 23 minit kemudian, Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan kereta berwarna biru yang dipandu oleh seorang lelaki.

“Kenderaan itu telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

Kata Ling Hii, seorang mangsa perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh paramedik Hospital Bau, setelah tersepit di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.

“Seorang pemandu lelaki serta seorang lagi penumpang perempuan bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam di tempat kejadian.

Katanya, pasukan penyelamat telah bertindak mengopek pintu kereta tersebut menggunakan peralatan menyelamat ’rescue hydraulic tool’ sebelum mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.

“Pasukan EMRS pula memberi rawatan awal kepada dua mangsa yang cedera ringan, kemudian bertindak menghantar mereka ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang cedera berusia 42 dan 47 tahun manakala maklumat mangsa yang maut masih belum diperolehi. – Sarawakvoice