KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga dua juruterbang pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban semalam.

Perdana menteri berkata siasatan terperinci akan dilaksana terhadap nahas yang berlaku di kawasan hutan paya Chukai, Kemaman pada  2.30 petang yang mengorbankan Mejar Hasri Zahari, 31,  dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

“Innalillah. Terima berita sedih dua juruterbang yang hilang dijumpai maut. Takziah kepada keluarga. Siasatan terperinci akan dilaksana,” katanya dalam laman Twitter, semalam.

Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dalam sidang media di Kauntan memaklumkan pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan pada 11 pagi tadi sebelum terputus hubungan setengah jam kemudian.

Menurut Affendi, kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi lenting pesawat.

Setakat 4.30 petang tadi, pesawat itu masih belum ditemukan.

Affendi berkata TUDM menggantung sementara perkhidmatan pesawat Hawk 108 sehingga siasatan tragedi selesai dan  sebuah badan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca nahas pesawat tersebut.

Kedua-dua juruterbang yang terkorban adalah daripada No 6 Skuadron Pangkalan TUDM Labuan. Bernama