Friday, December 3, 2021

STF sokong Kerajaan Negeri untuk tangguhkan Cukai Pelancongan

Secara Rawak

KUCHING: Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) semalam mengikrarkan sokongan sepenuhnya jika Kerajaan Negeri berpendirian untuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Pelancongan 2017 di negeri ini.

Pelaksanaan cukai itu menurutnya, dilihat tidak tepat pada masanya kerana Sarawak kini berhadapan kadar tempahan yang rendah.

“Misalnya, hotel-hotel di Miri kini suram, kesan kejatuhan harga dalam industri minyak dan gas.

“Fenomena yang sama turut melanda hotel-hotel di Kuching,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, STF menyeru agar satu perbincangan yang matang dan bersopan diadakan bagi mencari jalan keluar akan isu ini.

Kata kenyataan itu lagi, industri pelancongan negeri baharu sahaja pulih daripada tempoh suram setelah diganggu oleh pelbagai faktor luaran, yang menyebabkan pemain industri ini susut keuntungan untuk tempoh 2013-2015.

“Tahun lepas, industri kembali pulih  setelah berhadapan kesurutan ketibaan sebelumnya.

Ketika ini kadar penginapan di negeri ini didominasi oleh pengunjung domestik, justeru apabila cukai ini dilaksanakan kelak, sebahagian besarnya akan dibayar oleh rakyat kita sendiri.

“Justeru ia dilihat sebagai tambahan beban kepada rakyat, di sebalik peningkatan kos dan tambahan cukai sebelum ini.

Apabila pelaksanaan cukai ini ditunda, kata STF, ia akan memberi masa kepada kerajaan untuk menyemak kembali cukai ini, selain berbincang dengan pihak sektor yang menjadi pemainnya.

“Selain itu, ia memberi masa yang cukup untuk hotel-hotel terbabit mengemas kini perisian terbabit, di samping mewujudkan sistem sokongan.

Katanya, isu yang membabitkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ini juga dikhuatiri merumitkan masalah ini.

Justeru, lebih banyak usaha dan masa diperlukan untuk menjelas dan meredakan isu ini sambil penerangan lanjut bagaimana hasil cukai ini diagihkan kepada negeri, katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru