Semua mahu jatuhkan Umno untuk hancurkan kesatuan Melayu

KUALA LUMPUR: Sebarang kekeruhan atau pertelagahan pendapat  dalam Umno  perlu dielakkan dan diselesaikan secara musyawarah tanpa membabitkan kepentingan peribadi atau puak tertentu, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras.

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tanpa semangat setia kawan dan kerjasama erat dalam kalangan pemimpin  dan sokongan kukuh ahli-ahlinya, UMNO dikhuatiri tidak berdaya saing menghadapi tentangan daripada gabungan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ujarnya, kekuatan parti terletak kepada dua elemen berkenaan, apatah lagi ia berdepan asakan pembangkang dan serangan pihak berkepentingan dalam parti, termasuk yang mempunyai rangakaian di luar negara.

“Semuanya ingin menjatuhkan UMNO  kerana mereka berpendapat selagi UMNO kuat, selagi itulah mereka tidak dapat menghancurkan kesatuan orang Melayu  dan sukar untuk mereka menguasai negara ini,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.

Ujarnya, pembangkang dan pihak berkepentingan mahu melihat perpaduan dan kesatuan orang Melayu dan umat Islam di negara bertelagah dan saling berselisih faham walaupun hanya membabitkan perkara yang tidak munasabah.

Menurut Syed Ali, sebagai parti yang berusia 71 tahun dan cukup matang UMNO dihormati dan menjadi sandaran kepada orang Melayu untuk terus menerajui tampuk kuasa menerusi gagasan Barisan Nasional (BN).

UMNO menang lebih banyak kerusi dalam PRU-13 berbanding PRU-12.

Pada PRU13, BN menang 11 negeri berbanding sembilan dalam  PRU sebelumnya dengan mendapatkan balik Kedah, mengekalkan Terengganu dan bertambah kuat di Perak.

Justeru, tambah beliau, UMNO dan rakan sekutu politiknya dalam BN hendaklah menjadikan perundingan sebagai kaedah terbaik untuk menyelesaikan apa-apa juga masalah atau salah faham tanpa diheret dengan sebarang sentimen.

“Tetapi sungguh mendukacitakan apabila masih ada sebilangan kecil daripada pemimpin parti yang terjebak dengan pertelagahan pendapat hanya disebabkan beberapa isu kecil yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah,” tegasnya. – Sarawakvoice