MARAWI: Nasib orang awam yang terkepung di kota 200,000 jiwa ini membimbangkan.

Bom masih meledak di sini, tempat kumpulan militan bersembunyi, dengan angka korban terus meningkat.

Pihak berkuasa berkata, dianggarkan 400 teroris bersenjata masih bertahan, dan menggunakan orang awam sebagai perisai.

Kumpulan pengganas yang menakluki kota Marawi di selatan Filipina membunuh penduduk yang terperangkap, dan mereka yang cuba melarikan diri daripada kepungan.

Malah, ada juga orang awam yang dijadikan sebagai pelayan dan  tukang masak.

Memetik pihak berkuasa Filipina seperti dikutip AFP, Selasa, dianggarkan sekitar 1,000 penduduk masih terkepung yang ditawan puak militan.

Pertempuran bagai belum reda selepas konflik tercetus lebih tiga minggu dengan puak militan enggan menyerah kalah meski digempur sengit tentera Filipina yang dibantu pasukan Amerika Syarikat.

“Berdasarkan maklumat daripada orang awam yang terjebak yang telah kami selamatkan, mereka digunakan sebagai pelayan untuk memasak makanan dan membawa senjata bagi mereka,” kata jurucakap tentera. – Sarawakvoice