Friday, December 2, 2022

PPBM mencelarukan prinsip Pakatan Harapan

Secara Rawak

Buat masa ini, siapa pun tidak berani menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ialah sebuah parti yang kuat dan berpengaruh di Malaysia. PPBM hanya ada sebuah kerusi parlimen, iaitu di Pagoh yang asalnya dimenangi atas tiket BN.

Namun, itu semua tidak menghalang PPBM  memasang cita-cita besar. Mungkin kerana pemimpin kanan parti itu merupakan orang-orang besar pada suatu ketika dahulu, maka parti itu sampai sekarang pun bercita-cita besar.

Cadangan dan buah fikiran para pemimpinnya  telah beberapa kali ditolak oleh gabungan parti pembangkang yang baru disertainya, iaitu  Pakatan Harapan. Tetapi semua kegagalan itu tidak diendahkan oleh pemimpin PPBM.

Terbaharu PPBM telah mengemukakan cadangan barisan kepemimpinan Pakatan Harapan.  Dalam cadangan PPBM itu, Anwar Ibrahim dilantik sebagai penasihat, Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Dr Wan Azizah selaku Timbalan Pengerusi.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin diletakkan sebagai Presiden Pakatan Harapan dan Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden. Lim Guan Eng dan Mohd Sabu masing-masing sebagai Naib Presiden, dan Saifuddin Abdullah sebagai Setiausaha Agung.

Senarai tersebut secara tidak langsung menjawab persoalan siapa bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa selepas PRU-14. Jika dilihat kepada cadangan PPBM, maka agak jelas yang mereka mahu menjadikan Mahathir sebagai PM Malaysia ke-7.

Pemimpin kanan Pakatan Harapan yang sedar mengenai permainan politik PPBM tidak memberi respons terhadap cadangan PPBM. Hanya ahli Parlimen Selayang yang juga anggota PKR, iaitu William Leong Jee Keen memberi respons dengan menulis artikel yang agak panjang mempertikaikan asas logik dan menempelak cadangan PPBM tersebut.

Menurut William, cadangan PPBM yang mahu menjadikan Mahathir sebagai pemimpin utama Pakatan Harapan akan membawa bencana kepada Pakatan Harapan kerana akan ditolak oleh para pengundi dalam PRU ke-14.

Menerusi senarai kepemimpinan Pakatan Harapan cadangan PPBM itu, Dr Mahathir secara jelas tidak mengiktiraf kepemimpinan Pakatan Rakyat yang ada sekarang. Kepada Dr Mahathir, kepemimpinan Pakatan sekarang telah gagal sebab itulah beliau perlu dilantik sebagai pemimpin yang baharu.

Dr Mahathir dan PPBM cuba mengetepikan prinsip Pakatan Harapan yang mengutamakan ‘ketuanan rakyat’. Apa-apa yang dicanangkan oleh PPBM menerusi slogan ‘tsunami Melayu’ sebenarnya menunjukkan mereka masih menjunjung konsep ‘ketuanan Melayu’, sama seperti mereka menjadi pemimpin UMNO dahulu.

Dr Mahathir sentiasa menganggap dirinya sebagai  pemimpin ‘yang lain’ daripada pemimpin biasa dan melihat Pakatan Rakyat memerlukan pandangan dan pertolongan beliau untuk menang PRU-14. Beliau merasakan masih boleh menjadi faktor untuk menarik ramai pengundi menyokong pembangkang. Sebab itulah barangkali beliau merasakan pengundi Melayu akan bersama PPBM dan berlaku ‘tsunami Melayu’ menjelang PRU ke-14.

Jika demikian itu prinsip PPBM, Pakatan Harapan hampir pasti akan bertelagah dan menuju saat perpecahan pada masa hadapan. PPBM dan Pakatan Harapan berbeza dalam hampir semua hal.

Mereka bersatu kerana satu sebab sahaja — untuk menewaskan Najib Tun Razak. Dari segi polisi, boleh dijangkakan bahawa PPBM akan mengutamakan dasar-dasar proketuanan Melayu yang selama ini ditentang hebat oleh DAP dan PKR. Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru