SERIAN: Seorang lelaki maut setelah kenderaan yang dipandunya terbabas dalam satu kemalangan kendiri di kawasan Sungai Enkabang, Jalan Serian-Sri Aman dekat sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat insiden tersebut sekitar jam 3.59 petang daripada Ibu Pejabat Polis Serian.

Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS kemudian dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian, dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di lokasi 27 minit kemudian, pasukan mendapat kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

Kemalangan ini katanya, mengakibatkan seorang mangsa lelaki yang berumur 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dan disahkan oleh pasukan paramedik.

“Dua mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kata Ling Hii, pihaknya kemudian bertindak mengeluarkan mangsa daripada kenderaan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

“Keadaan mangsa tidak tersepit, dan pihak polis telah membawa mayat ke Hospital Serian untuk proses bedah siasat punca kematian.

Identiti mangsa yang maut kata Ling Hii kemudian dikenal pasti sebagai Alexis Lim Kah Dee, 33 tahun. – Sarawakvoice