Tuesday, October 4, 2022

Insafi puasa kita, 7.8 juta rakyat Ethiopia berdepan kelaparan Julai ini

Secara Rawak

PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) rakyat Malaysia membuang sekitar 17,800 tan makanan setiap hari.

Mardi pula menganggarkan 7.89 peratus padi hilang di sepanjang rantaian nilai pengeluaran.

Awal minggu lepas, timbul isu sepanjang Ramadan, rakyat Malaysia membuang 270,000 tan metrik makanan masih elok.

Secara bandingan, jika disusun, longgokan makanan ini bersamaan ketinggian 30 bangunan KLCC.

Sungguh mewah rakyat Malaysia dengan makanan!

Ramadan seharusnya mengajar umat Islam bersyukur dengan limpahan rezeki kekayaan, kesihatan serta makanan melimpah ruah yang sentiasa ada untuk dimakan.

Tidak kiralah mahal atau murah harga makanan berbanding negara yang langsung tidak ada makanan atau tidak cukup makanan untuk dibeli.

Sumber makanan yang ditanam tidak tumbuh subur seperti di bumi Malaysia.

Mari toleh ke Ethiopia di Afrika yang sentiasa berdepan krisis makanan ekoran tanah yang tidak subur, kering dan tidak sesuai menghasilkan makanan.

Addis Abba Kehabisan Stok Makanan

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) percaya Ethiopia bakal kehabisan bantuan makanan darurat untuk 7.8 juta jiwa rakyatnya akibat kesan musim kemarau yang kering akhir bulan ini.

Kumpulan bantuan kemanusiaan bekerjasama dengan kerajaan di Addis Ababa meminta bantuan masyarakat dunia, namun mereka khuatir akibat membengkaknya krisis berlaku di seluruh dunia, saluran bantuan tersebut tidak sampai kepada Ethiopia.

Kini saluran dan bantuan dunia berpecah ke negara sengketa akibat perang dan bertaburannya mangsa pelarian menyeberang sempadan melalui darat serta berlayar melalui laut, penuh penderitaan mencari penempatan selamat untuk berlindung.

Kelaparan dan kesakitan ini adalah mitos bikinan manusia!

Di Ethiopia, kelaparan berpunca daripada bekalan makanan yang tidak mampu memenuhi keperluan manusia berpunca daripada faktor alam, ketika negara kapitalisme seperti Amerika Syarikat membuang gandum ke laut untuk menstabilkan harganya.

Pada Mac lepas, PBB menyenaraikan kelaparan di timur laut Nigeria, selatan Sudan, Yaman dan Somalia dianggap krisis kemanusiaan terparah dihadapi dunia sejak 1945.

Perhatikan pinggang dan meja anda ketika iftar atau berbuka puasa dan sahur, penuh atau setengah pinggan…

Tiada Makanan Untuk Dimakan

Ada berapa jenis lauknya? Dimasak sendiri atau dibeli. Ada wang atau tidak ada wang, kita masih mewah untuk makan daripada hasil keringat sendiri atau pemberian orang lain.

Berbanding Ethiopia, bukan ada wang atau tiada wang, atau harga makanan mahal, isunya ialah tiada makanan untuk dimakan atau tidak cukup makanan untuk dibahagikan kepada ahli keluarga.

Anak kecil, kurus kering, cengkung, kepala tampak besar.

Apabila tidak cukup makanan, anak-anak kecil pasti mengalami masalah kekurangan zat gizi.

Tatkala kita berfikir mahu makan di mana atau memilih mahu makan apa, insan di Ethiopia tidak lagi dapat berfikir apa-apa tentang makanan, kerana sebahagiannya hanya makan apa yang ada, termasuk daun itu pun kalau ada daun yang tumbuh di tanah gersang.

Justeru, semasa iftar atau bersahur, fahami perintah Allah menggalakkan umat Islam berpuasa, selain ibadah itu untuk Allah, ia juga mengajak manusia merasai keperitan orang susah apatah lagi sesusah insan di Ethiopia.

Selepas ini, jangan bazirkan makanan, hidangkan sesuai keperluan bukan sesuai nafsu.

Serta beringatlah untuk sentiasa habiskan makanan yang dihidangkan!

Berdoa Untuk Ethiopia

Kalaupun kita tidak mampu bersedekah wang hasilkan yang kita jimatkan untuk disumbang untuk mangsa Ethiopia, berdoalah ketika berbuka puasa agar insan Ethiopia beroleh kesabaran dan Allah berikan keajaiban kepada negaranya menjadi tanah yang subur.

Doa kepada diri sendiri dan keluarga afdal, doa kepada orang lain itu sedekah dan waktu berbuka dan bersahur doanya sangat mustajab.

Isu Ethiopia bukanlah isu setahun dua.

Kini, ia sedang berdepan menghadapi kesukaran berdepan musim kemarau dan kekurangan hujan.

Meskipun kerajaan menghadapi musim kering lebih baik berbanding tahun sebelumnya, namun kekurangan dana menjadi penghalang usaha efektif tersebut.

Dana tambahan AS$381 juta (RM1.6 bilion) untuk dua tahun terakhir diperlukan, namun ia tidak mampu menangani untuk masalah yang dihadapi pada tahun ketiga.

Anehnya, negara kaya berdekatan termasuk yang jauh tidak melihat isu ini untuk jangka panjang.

Sekian lama tiada teknologi dibawa masuk bagi menyuburkan tanah atau memulakan teknologi tanaman tanpa tanah.

Ditekankan Ethiopia bukan sahaja hari ini dirundung malang ia sudah berlalu berdekad bahkan menjadi fenomena dunia bahawa negara tersebut sememangnya tandus.

John Aylieff dari Program Makanan Dunia PBB pada Jumaat lepas berkata, makanan akan habis pada akhir Jun ini, menjadikan Ethiopia suram dan muram.

Ini bermakna 7.8 juta orang yang memerlukan bantuan makanan di Ethiopia menghadapi catuan bantuan makanan secara mendadak pada akhir Jun ini.

Anak-anak Kekurangan Gizi

John Graham dari Save the Children berkata kepada AFP bahawa selepas habisnya makanan, mereka tidak tahu apakah yang akan berlaku.

Tanpa makanan, akan muncul masalah malnutrisi. Anak-anak khususnya kekurangan gizi, di sinilah situasinya menjadi berbahaya.

Ada penulis yang percaya bahawa kelaparan hanyalah satu mitos jika dikaitkan dengan makanan, kerana sumber makanan di dunia ini cukup luas dan banyak melebihi jumlah keperluan manusia.

Cuma sumber makanan yang ada dikawal secara kapitalisme bagi tujuan kekayaan golongan tertentu.

Mereka mengawal makanan untuk dijual mengikut harga yang “dimainkan” di pasaran.

Contoh klasik dan mudah ialah bagaimana negara kaya seperti Amerika Syarikat membuang jutaan tan gandum ke laut untuk menstabilkan harganya.

Jadi, moralnya, setiap kali kita menyuapkan makanan ke mulut, ingatlah benar-benar akan kaifiyat dan pengajaran puasa itu bahawa ada ramai orang tidak dapat makan seperti kita makan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru