Pertikaian dengan Nazri: Tak perlulah dipanjangkan, kata Abdul Karim

0
4

KUCHING: “Tak perlulah dipanjangkan,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah merujuk kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz tentang beliau seperti tular melalui rakaman video.

“Saya tidak kecil hati, tapi kalau nak kata saya baru dalam politik tak tahu apa-apa, tak tepat juga kerana saya pun dah empat penggal jadi wakil rakyat,” kata Karim memetiki laporan Bernama pada Isnin.

Karim akur, Nazri orang lama dalam politik, namun beliau berharap Nazri sentiasa berhati-hati semasa bercakap, sehingga jangan menyinggung hati sesiapa, dan perasaan orang lain, apa lagi pada bulan puasa Ramadan ini.

Melalui rakaman video dimuat naik TVkini yang tular di Youtube ditonton lebih 70,000 penonton tidak termasuk pautan lain, Nazri menyelar kenyataan Karim minggu lepas yang meminta Kerajaan Pusat menangguh pelaksaaan cukai pelancongan di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 1 Julai ini.

Karim prihatin jika cukai baharu tersebut membawa impak negatif kepada industri pelancongan negeri.

Warga Sarawak khususnya sebahagian besarnya netizen di media sosial “terasa” dan “terganggu” dengan kata-kata kasar dan dianggap biadap dibuat oleh Nazri antaranya berkata:

 “Dalam politik ni jangan cakap besar, awak cakap besar, awak nak tunjuk samseng kita lebih samseng lagi.

“Saya takkan benarkan dia bercakap samseng begitu. Saya menteri dah lama, kalau tak faham jumpa saya dulu dan tanya.”

“Jangan baru jadi menteri, (sudah) jadi samseng. Nak belajar jadi samseng belajar dengan saya.”

“Dia menteri baru, dia menteri BN, janganlah nak tunjuk lagak sangat. Jumpa saya, saya pun menteri BN, bukan setahun dua, banyak tahun dah.”

“Kalau nak kira dari segi bilik sewa, jumlah bilik di Semenanjung 75 peratus, Sabah Sarawak baru 25 peratus jadi, nak cakap besar apa?”

“Janganlah nak sombong sangat, baru jadi menteri Karim ni. Awak budak lagi dari segi jadi menteri jangan tunjuk lagi.”

Cukai Pelancongan yang bakal dilaksana pada 1 Julai depan mengenakan caj tambahan antara RM2.50 ke RM20 untuk setiap bilik penginapan.

Dengan jumlah 11,000 bilik yang ditawarkan di seluruh negara, dan 60 peratus kapasiti dipenuhi, Kerajaan Pusat dijangka mengutip RM654.62 juta setahun.

Cukai tersebut mengenakan caj tambahan antara RM2.50 ke RM20 untuk setiap bilik penginapan.

Dengan jumlah 11,000 bilik yang ditawarkan di seluruh negara, dan 60 peratus kapasiti dipenuhi, Kerajaan Pusat dijangka mengutip RM654.62 juta setahun.

Banyak pihak beranggapan tindakan Nazri tergesa-gesa menjayakan Cukai Pelancongan tersebut.

Sebelum ini, RUU Cukai Pelancongan 2017 dibentangkan Nazri diluluskan dengan undian suara majoriti di Dewan Rakyat.

RUU tersebut diluluskan dalam Persidangan Dewan Rakyat mencipta rekod terbaharu sebagai persidangan paling lama berlangsung hampir 20 jam, bermula 10 pagi pada 5 April dan berakhir hingga 5.05 pagi 6 April. – Sarawakvoice