Wednesday, December 7, 2022

Nazri, keangkuhan politik dan tindak balas rakyat

Secara Rawak

Kenyataan sombong dan nada angkuh Nazri tidak mengejutkan saya.

Saya masih ingat akan kenyataan beliau pada bulan September tahun lalu apabila mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak tidak akan mendapat bantuan daripada kementeriannya jika kedua-dua negeri ini memilih untuk tidak menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Pelancongan (TSA).

Cadangan TSA ini juga mendapat bantahan dari Sabah dan MATTA.

Nazri yang mengaku “orang lama” dalam politik tidak perlu menunjuk sikap melenting dengan memperkecilkan kedudukan Karim sebagai Menteri negeri.
Nazri tentu lebih arif dan sepatutnya lebih sensitif tentang sentimen politik yang sedang hangat dimainkan di Sarawak; terutama tentang hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia, isu peruntukan pembangunan daripada Pusat dan janji-janji pilihan raya yang tidak ditunaikan oleh Menteri-menteri Persekutuan.

Sebagai orang yqng mengaku dirinya “Menteri lama dan berpengalaman” dan pernah memegang lortfolio Hal-Ehwal Undang-undang, tentu Nazri arif tentang sejarah Perjanjian Malaysia serta kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Kita bukan mempertikai akan hak Kerajaan Pusat untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan kutipan cukai. Peruntukan tersebut memang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi kami ingin menyuarakan kekecewaan kami tentang layanan serta sikap Kerajaan Pusat yang tidak membawa perkara ini melalui rundingan yang serius dengan Kerajaan Negeri.

Putrajaya harus diingatkan tentang 13 perkara ‘Administrative Empowerment’ yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang telah dipersetujui di antara Allahyarham Tok Nan dan YAB Perdana Menteri semasa perjumpaan di Putrajaya pada 21 Januari tahun lalu.

Antara lain, telah dipersetujui bahawa “Kerajaan Negeri haruslah dimaklumkan dan dibawa berbincang tentang apa-apa cadangan untuk menggubal sebarang undang-undang yang akan memberi kesan kepada kedudukan negeri terutama yang membawa impak dari kewangan.”

Nazri perlu diingatkan bahawa perkara ‘pelancongan’ hanya dimasukkan ke dalam senarai Persekutuan pada tahun 1994 melalui Akta A885 Parlimen.

Dan Kerajaan Negeri tidak pernah dimaklumkan awal, dibawa berunding atau memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Negeri sebelum penyenaraian perkara ‘pelancongan’ dalam ‘Senarai Persekutuan’ dilakukan.

Nazri juga merupakan Menteri yang membentangkan Territorial Sea Act, 2012 (TSA) di Parlimen pada 18 April 2012 dan diluluskan pada hari yang sama.

Tiada seorang pun Ahli Parlimen dari Sarawak termasuk dari pembangkang hadir semasa TSA diluluskan.

TSA merupakan antara undang-undang kontroversi yang sering dibincangkan termasuk Petroleum Development Act (PDA) apabila isu Royalti Minyak & Gas dibangkitkan.

TSA dianggap sebagai undang-undang yang merampas hak negeri ke atas pelantar benua atau Continental Shelf.

Jika dikaji secara mendalam, mungkin TSA ini tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Saya tidak peduli akan kedudukan Nazri yang mengaku “samseng besar” di Putrajaya, kerana kelazimannya, orang yang banyak kelemahan memang cepat mengaku dirinya besar dan bongkak.

Yang penting ialah tanda hormat dan saling memahami tentang kedudukan Sarawak dalam Malaysia.

Jika persepsi majoriti rakyat Sarawak bahawa Putrajaya tidak ikhlas, mungkin Barisan Nasional perlu bekerja keras pada Pilihan Raya Umum akan datang ini.

Jika pemimpin seperti Nazri terus menunjuk belang keangkuhan politik kepada sebuah negeri yang sentiasa konsisten dan banyak menyumbang kemenangan BN dalam PRU, jangan terkejut jika rakyat yang semakin meluat akan bertindak balas.

Polisi serta kejayaan agenda politik BN sama ada di peringkat nasional atau negeri semakin diyakini tetapi rakyat mahu pemimpin-pemimpin politik yang sentiasa menunjukkan kesungguhan, kerajinan dan keberanian.

Bukan pemimpin banyak retorik yang semakin sombong, angkuh serta “beraja di hati”.

* Abdullah Haji Saidol ialah Menteri Muda Hubungan Korporat, yang juga mantan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru