Monday, June 27, 2022

Kedua-dua menteri perlu duduk berbincang, wujud situasi menang-menang — Matta

Secara Rawak

KUCHING: Pertikaian di antara dua menteri — Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah jelas mendapat perhatian para pemain industri tersebut.

Bagi mereka, pertikaian seperti itu tidak seharusnya berlaku secara terbuka, kerana ia tidak akan membawa kepada sebarang kebaikan ataupun keuntungan.

“Ia lebih kepada isu ‘kuasa’ di antara dua kerajaan, Negeri dan Pusat.

“Oleh itu, kedua-dua pihak seharusnya duduk bersama, saling menghormati dan menyelesaikannya dengan situasi ‘menang-menang’, demi kebaikan industri pelancongan negara,” kata Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Matta) Miri, Wilson Chiam.

Bagaimanapun kata Chiam, mendalami isu pokok, iaitu cukai pelancongan, beliau mengakui cukai RM20 yang dikenakan kepada hotel bertaraf lima bintang agak keterlaluan.

“Di seluruh Sarawak, kita ada lima hotel bertaraf lima bintang berbanding dua atau tiga hotel yang disebut (Nazri).

Malaysia katanya, kini sedikit ketinggalan dari aspek pelancongan, berikutan peningkatan harga kos, setelah dimasukkan tambahan 6 peratus cukai GST dan 10 peratus cukai perkhidmatan.

“Misalnya, dengan yuran lawatan RM1,000 kini hanya boleh menawarkan kemudahan lawatan tiga hari dua malam di Mulu; tidak termasuk tambang udara luar bandar.

“Manakala pada harga yang sama, seseorang pelancong boleh terbang ke tempat lain seperti Bali atau Bangkok.

Kerana itu katanya, pelancong kini cenderung untuk memilih ke destinasi-destinasi yang lebih murah seperti Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI), Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg turut menyokong penuh pendirian Kerajaan Negeri agar pelaksanaan cukai baharu berkenaan ditangguhkan untuk membolehkan kajian rapi dilaksanakan.

“Bukan hanya pandangan negeri-negeri, malah perbincangan bersama di antara para pemain industri juga perlu diadakan.

Katanya, ada perkara yang memerlukan penjelasan, termasuk tanda tanya sama ada kutipan cukai berkenaan akan dipulangkan semula kepada negeri untuk tujuan pembangunan dan promosi berkaitan.

“Harus diingat, pelancong yang datang atas tujuan perniagaan merupakan antara penyumbang utama kepada penyediaan perkhidmatan hotel berlesen di Sarawak.

“Mereka yang kerap datang ke sini atas tujuan perniagaan pasti menerima kesannya,” katanya.

Ahli Jawatankuasa SCCI,  yang sebelum ini berpengalaman mengetuai  Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Gracie Geikie pula menjelaskan, penyedia perkhidmatan pelancongan mempunyai kontrak tahunan dengan rangkaian hotel utama.

“Malah mereka juga sudah memasarkan Sarawak dalam kalangan ejen pelancongan antarabangsa.

“Pakej dan harga sudah ditetapkan untuk mempromosikan Sarawak untuk sepanjang tahun.

Justeru katanya, pihak hotel pasti akan terkesan jika terpaksa menambah cukai pelancongan kepada pelancong,” katanya.

SCCI adalah organisasi yang turut disertai pemilik hotel, penyedia perkhidmatan dan teknologi, pengangkutan dan pembekal perkhidmatan logistik. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru