Pemuda parti desak Mahathir, Muhyiddin jelaskan isu rasuah, skandal wanita

0
11

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memberi penjelasan segera berkaitan kekayaan anak-anaknya demi nama baik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Exco Pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Muhammad Hafiz yang disertai Exco Pemuda dalam sidang akhbar di sini semalam berkata, Pemuda tidak suka apabila para pemimpinnya dilemparkan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dari 1981-2003, pelbagai tuduhan dilemparkan pembangkang, yang kini disertainya, termasuk menyalah guna kuasa dan rasuah.

Mahathir yang kini Pengerusi PPBM, dilabel sebagai mahafiraun dan mahazalim, malah dikategorikan sebagai pemimpin diktator.

“Kami orang muda mahu dipimpin oleh pemimpin politik yang telus dan bersih dari amalan rasuah. Kami tidak suka apabila pemimpin-pemimpin parti dilempar dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Justeru, ujarnya, Pemuda parti itu meminta pemimpin utama parti, Mahathir untuk tampil memberi pencerahan mengenai isu kekayaan luar biasa anak-anak beliau dalam masa yang singkat.

“Bagi kami, isu ini perlu dijawab segera bagi menangkis tuduhan dan menjaga nama baik parti serta memberi pencerahan secara jelas kepada kami anak-anak muda. “Di akar umbi, isu ini sering dibangkitkan, maka kami perlukan jawapan,” katanya.

Selain itu, juga meminta Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membersihkan nama beliau dengan menafikan tuduhan skandal bersama seorang wanita.

Muhammad Hafiz mendakwa beliau sering ditanyakan soalan di peringkat bawahan mengenai isu berkenaan, tetapi tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya kerana tidak mengetahui isu berkenaan atau mengenali wanita dengan nama itu.

“Jadi saya minta Presiden yang kami hormati tampil dan menafikan secara jelas skandal ini,” katanya. Katanya, beliau pernah cuba beberapa kali mendapatkan penjelasan mengenai isu itu termasuk di dalam WhatsApp kumpulan parti, namun tidak dijawab.

Pemimpin  Pemuda PPBM itu juga mengakui bahawa semangat mereka berjuang dalam parti semakin luntur susulan pelbagai isu yang membelenggu kepemimpinan parti.

“Saya berterus terang, mula-mula dulu kami memang bersemangat, tetapi lama-kelamaan semangat dan keyakinan kami semakin berkurangan apabila isu-isu ini tidak dapat dijawab,” ujarnya. – Sarawakvoice