KOTA KINABALU: Ketika pemberontakan hendak masuk ke minggu keempat, pasukan elit Amerika Syarikat diminta kerajaan Filipina untuk membantu tenteranya  membebaskan kota Marawi daripada cengkaman kumpulan militan Maute yang pro-ISIS, kata jurucakap Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Manila.

Untuk itu, kata jurucakap berkenaan seperti dipetik Reuters, pasukan operasi khusus Amerika Syarikat  sedang mendampingi angkatan bersenjata Filipina dalam operasi di Marawi bagi menolong mereka menggempur kumpulan pengganas  Maute dan kelompok Abu Sayyaf.

Meskipun digempur tentera Filipina setiap hari, kumpulan terbabit masih dapat bertahan.

Lebih 200 orang telah terkorban dalam pertempuran berkenaan yang menyaksikan sekolah, gereja dan kedai musnah dan dibakar, manakala sebahagian penduduk di kota 200,000 jiwa itu turut terkepung.

Jurucakap tentera Filipina di Marawi, Letnan Kolonel Jo-Ar Herrera berkata,  bantuan Amerika Syarikat hanya dalam bentuk teknikal, dan bukannya dalam pertempuran.

“Mereka tidak bertempur. Mereka hanya menyediakan sokongan teknik,” kata Herrera, kepada AFP, tanpa memberi butir lanjut sokongan teknik yang dimaksudkan.

Pada Jumaat, pesawat pengintai P3 Orion milik tentera Amerika Syarikat dilihat terbang di atas kota Marawi, namun belum terdapat bukti bahawa negara itu telah mengirim pasukannya..

Setakat ini jumlah tentera  Filipina yang terkorban ialah 58 orang sejak pertempuran berlangsung tiga minggu lalu.

Di pihak kumpulan pengganas pula, 138 orang terkorban, manakala  20 orang awam meninggal dunia dalam pertempuran yang dianggap sengit dan sukar apabila pengganas bersembunyi di dalam rumah ditinggalkan penduduk, dan juga kedai. – Sarawakvoice