KABONG: Penduduk di sini terkilan dengan gangguan bekalan elektrik yang berlaku dalam tempoh masa yang agak lama apatah lagi ketika bulan puasa sekarang ini.

Awal pagi tadi masalah gangguan bekalan elektrik berlaku seawal jam 2 pagi dan hanya pulih seperti biasa jam 8 pagi. Tempoh tiada bekalan elektrik sehingga selama 6 jam itu begitu memberi kesan dan menyukarkan penduduk.

Pada hari sebelumnya turut berlaku gangguan bekalan elektrik namun hanya membabitkan sebahagian rumah penduduk di kawasan Kampung Wawasan. Gangguan berkenaan berlaku seawal jam 9 malam dan turut berlarutan hingga ke pagi.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan memberitahu apabila berlaku terputus bekalan elektrik, bekalan air juga akan terputus kerana air paip perlu ditarik dengan enjin pam baharulah air akan dapat digunakan.

“Apabila berlaku ‘blackout’ penduduk akan terima padah. Air tak dapat dipam, ikan dan barang-barang dalam peti sejuk banyak yang rosak. Alatan elektrik kami juga banyak yang rosak.

“Lebih menyedihkan, ia berlaku dalam bulan puasa. Kami terpaksa buat persiapan untuk makan sahur dalam gelap. Dahlah gelap, panas, pihak yang bertanggungjawab pula lambat bertindak untuk memulihkan keadaan selepas aduan dibuat.

“Kami penduduk di sini berharap agar pihak yang berkenaan dapat menyediakan petugas teknikal di kawasan Kabong yang memang telah diketahui kerap berlaku gangguan elektrik. Tidaklah sesuatu masalah akan mengambil masa untuk dipulihkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penduduk di beberapa kampung di sini menunggu malam dengan penuh harapan. Ini kerana hanya pada sebelah malam air akan ada naik sedikit dan dapat dipam untuk disimpan dalam bekas bagi kegunaan harian.

“Kampung Hulu, Kampung Sungai Benang, Kampung Sungai Endot mengharap air muncul pada sebelah malam iaitu seawal jam 12 malam hingga jam 5 pagi.

“Apabila berlaku ‘blackout’ penduduk akan dilanda masalah berganda, tak ada elektrik dan air serentak,” katanya dengan nada kecewa.

Sehubungan dengan itu penduduk berharap masalah gangguan bekalan elektrik di sini akan dapat ditangani dengan sebaik mungkin dan tidak akan berlaku sewaktu sambutan Hari Raya yang bakal menjelang tiba. – Sarawakvoice