KOTA KINABALU: Sejak tahun 1990-an, Pulau Sebatik di sempadan Indonesia-Malaysia di Kalimantan Utara merupakan ‘jalan tikus’ bagi warga Indonesia yang akan bergabung dengan kelompok militan bersenjata di Filipina Selatan.
Mantan anggota Front Pembebasan Islam Moro (MILF) Filipina, Ali Fauzi, seperti dipetik BBC Indonesia berkata, Pulau Sebatik digunakan sebagai pintu masuk ke Filipina Selatan kerana penjagaan sempadannya “tidak begitu kuat”.
“Dari (Pulau) Sebatik kemudian dengan sangat mudah dapat masuk ke Tawau. Dari Tawau nanti tinggal memilih mahu menyeberang ke Filipina, di daerah mana,” kata Ali Fauzi kepada BBC Indonesia, Khamis.
Ketika bergabung dengan organisasi teroris, Jamaah Islamiyah (JI), Ali dikenal ahli membuat bom.
Dia juga pernah mendirikan khemah latihan tentera MILF di Mindanao, Filipina, bersama-sama Abdul Matin dan Umar Patek pada 2002.
Dia ditangkap polis Filipina dan kemudian dihantar balik ke Indonesia pada 2006.
Fauzi, yang kini tinggal di Lamongan, Jawa Timur, mengaku dia dan rakan-rakannya “sangat mudah” keluar-masuk dari wilayah sempadan Indonesia, Malaysia dan Filipina.
“Kita tahu sempadan tiga negara itu tidak begitu ketat,” katanya seperti dipetik portal berkenaan.
Menurutnya, salah satu wilayah perbatasan Indonesia-Malaysia yang sering dijadikan sebagai pintu keluar-masuk ke Filipina ialah Pulau Sebatik.
“Itu jalur tikus,” ujarnya.
Pulau berukuran kecil ini terbahagi menjadi dua, yaitu wilayah selatan masuk wilayah Kalimantan Utara, dan wilayah utara terletak di Sabah.
Dari pulau itulah, mereka kemudian menyeberang ke Tawau sebelum menentukan perjalanan melalui laut ke wilayah yang dituju di Filipina Selatan.
“Nanti tinggal kita pakai perahu kecil, langsung dapat sampai di wilayah Filipina Selatan,” kata Ali Fauzi.
Jalur berkenaan, kata laporan itu lagi, untuk menyeludup senjata atau bahan lain ke selatan Filipina. – Sarawakvoice