Monday, November 28, 2022

Komitmen subsidi TH kekalkan kos haji Malaysia kepada RM9,980 seorang

Secara Rawak

SIBU: Setiap bakal jemaah haji di negara ini hanya perlu membayar RM9,980 seorang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu biarpun berlaku peningkatan kos hampir setiap tahun.

Ini disebabkan komitmen yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang memperuntukkan sehingga RM260 juta sebagai subsidi untuk setiap kali musim haji.

“Subsidi ini bertujuan mengekalkan kos yang perlu ditanggung bakal jemaah untuk mengerjakan ibadah itu, agar ia tidak melonjak hingga membebankan jemaah terbabit,” kata Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Menurutnya, subsidi tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan setiap tahun, selain program berkaitan yang lain.

“Kita memiliki keupayaan dalam penyediaan dana bagi tujuan itu.

“Kebanyakannya diperoleh daripada pelaburan strategik, termasuk penyertaan TH dalam pelbagai aktiviti perniagaan yang membolehkan kita menjana pulangan dalam bentuk hibah kepada pendeposit (penyimpan),” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan TH 2017 di Kompleks Islam Sibu, di sini.

Sejumlah RM70 ribu disumbangkan TH pada majlis berkenaan, untuk diagihkan kepada 140 penerima yang terdiri daripada ibu dan bapa tunggal, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), fakir miskin serta golongan asnaf. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru