Amanah tumpu pada tanggungjawab parti, bukan isu calon Perdana Menteri

0
4

KUALA LUMPUR:  Parti Amanah mengambil pendirian untuk memberikan tumpuan  pada Pakatan Harapan daripada membincangkan isu calon Perdana Menteri bagi menguatkan organisasi dan jentera parti.

Timbalan Presidennya berkata, tumpuan ini diperlukan bagi memastikan rakyat di peringkat akar umbi difahamkan dan diyakinkan untuk malakukan perubahan besar dalam PRU14 melalui kempen besar-besaran ke seluruh negara.

Salahuddin Ayub berkata, segala dasar dan tawaran besar Pakatan mesti disampaikan kepada rakyat dengan berkesan.

Ujarnya, agenda itu lebih penting berbanding isu calon perdana menteri.

“Telah banyak kali saya diajukan persoalan oleh peminat serta pemerhati politik termasuklah khususnya daripada rakan-rakan media mengenai isu siapakan calon perdana menteri daripada Pakatan,”’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka juga bertanya tidakkah Amanah berhasrat untuk menamakan beberapa pemimpin utamanya sebagai calon perdana menteri.

Katanya; “Saya memilih untuk mengambil sikap tidak memberikan jawapan atau respons spontan kerana buat masa dan ketika ini di kalangan pimpinan Amanah bukanlah satu keutamaan yang mendesak.”

“Amanah juga mengambil peranan untuk memastikan segala kepercayaan dan keputusan yang ditugaskan kepada Amanah samada oleh Majlis Presiden Pakatan atau Sekretariat Pakatan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Perdebatan berlaku antara PKR  dengan Parti Pruibumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan PKR mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum ke-14.

Sebaliknya, Bersatu  pula mahu pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik ke jawatan itu.

Ketika di Jepun semalam, Mahathir, 92,  dilaporkan berkata bersedia dilantik sebagai Perdana Menteri untuk waktu singkat.

Beliau pernah menerajui kepemipinan negara ini selama 22 tahun, dari 1981-2003 diberi pelbagai label termasuk mahafiraun dan mahazalim.

Beberapa hari lalu, Anwar berkata, bukan untuk Mahathir menentukan siapa sesuai mengisi jawatan itu, sebaliknya perlu diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah. – Sarawakvoice