KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan 18 bot nelayan asing yang telah menceroboh perairan negeri Sarawak sejak Januari hingga 31 Mei lalu.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, termasuk jumlah kes tersebut, secara keseluruhan pihaknya berjaya membuka 54 kes dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu masih tidak memuaskan hati, kerana masih banyak kapal asing yang masih gagal ditangkap.

“Sejak 10 tahun lalu, hanya 116 kapal asing berjaya ditahan dan bermakna, setiap tahun kita berjaya menahan tidak kurang 10 buah kapal.

“Ini yang berjaya kita tangkap. Bermakna yang menceroboh itu lebih banyak sebenarnya.

Kerana itu kata Ismaili, sudah tiba masanya untuk Maritim menukar strategi.

“Kita tidak boleh ikut cara lama lagi. Cara lama … kurang berkesan. Inisiatif kita, kalau boleh, kejar hingga dapat!” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di sini, pagi semalam.

Sehubungan itu kata Ismaili, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan penyewaaan dua buah kapal pengangkut induk, yang akan diguna sebagai stesen tengah laut bagi menjalankan penguatkuasaan terhadap mana-mana kapal penceroboh.

Kapal pengangkut sewaan ini akan diiringi empat kapal kecil, serta membawa di atas dek, 6 bot laju, yang boleh memecut pada kelajuan 40 knot sejam.

Bot-bot ini akan bertindak merakam imej tinjau bukti dan memintas mana-mana pencerobohan, oleh nelayan dan kapal asing.

Cadangan ini katanya, kini sedang berada di tangan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, dan jika diluluskan, akan membolehkan pengawasan kawasan seluas 239 ribu kilometer persegi di perairan Sarawak lebih efisien.

Dua unit kapal tersebut kelak distesenkan di tengah laut di bahagian utara dan selatan perairan negeri itu, lengkap dengan bekalan minyak untuk tiga kali pengisian semua kapal yang dibawanya.

Katanya, jika diluluskan, kapal sewaan tersebut dapat disediakan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Ismaili sebelum itu mengumumkan penahanan dua bot nelayan Vietnam, dengan 15 awak-awak yang mencuri ikan di kawasan 115 batu nautika dari perairan Tanjong Po, Sematan, Sarawak.

Dua kapal tersebut ditahan oleh peronda KM Bijak pada jam 10.40 pagi, 31 Mei lalu. – Sarawakvoice