SIBU: Pengacara dan penerbit rancangan “Sukan Tak Sentral” telah dihadapkan ke Mahkamah Sibu pagi tadi atas tuduhan menghina bapa kepada pelari pecut, Watson Nyambek dalam rancangan yang disiarkan oleh stesen televisyen TV3 pada April lalu.

Azizul Ammar, 50 tahun dari Segambut, Kuala Lumpur dituduh di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan keaiban dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Gambar fail

Turut didakwa di mahkamah yang sama, penerbit rancangan, Abdul Ghani Mohd. Mokhtar, 41 tahun.

Sabit kesalahan, mereka berhadapan penjara tidak lebih dua tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Majistret Saiful Sayoti kemudian mengarahkan sebutan semula kes pada 4 Julai depan, dengan kedua-dua tertuduh kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,500 seorang melalui seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, kesalahan dilakukan pada 22 April, jam 11.30 malam apabila Watson menonton sendiri rancangan itu yang memimikkan mendiang bapanya seperti seekor kambing di Hotel Medan di sini.

Lanjutan isu tersebut, Watson yang terkenal dengan jolokan The Flying Dayak membuat laporan polis pada 24 April, sebelum berjumpa dengan rombongan penerbitan tersebut yang datang ke Miri untuk merayu keampunan.

Bagaimanapun, Watson yang memakai baju pemberian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika itu, enggan menerima permohonan maaf oleh rombongan yang diketuai Ketua Pegawai Elsekutif Primeworks Studio, Ahmad Idzham Omar itu.

Selepas menonton rancangan tersebut, Watson yang penuh amarah sempat memuat naik status facebooknya: “Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa… saya terima.Nak ketawakan saya…apa boleh buat,nasib kita macam tu. Tetapi bapa saya bukan ‘binatang’ untuk dipersendakan” yang kemudian tular.

Selain tindakan undang-undang, Watson juga dikatakan mempertimbangkan tindakan saman malu. – Sarawakvoice