Monday, November 28, 2022

Penuntut UPNM maut selepas dibelasah 36 rakan seuniversiti kerana tuduhan curi komputer riba

Hisham mahu siasatan menyeluruh

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kerana melaksanakan undang-undang di tangan sendiri, 36 individu yang juga mahasiswa dua universiti berusia 20 hingga 21 tahun direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes kematian seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 1 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, 32 daripada mereka adalah penuntut UPNM dan empat lagi belajar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Kesemua suspek katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun.

Zulfarhan dikatakan dibelasah menggunakan tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju selain ditekap dengan seterika wap di seluruh badannya.

Akibat belasahan itu, mangsa yang juga pegawai kadet laut tahun tiga mengalami kecederaan parah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Difahamkan, mangsa dikeronyok oleh kesemua suspek selepas dituduh dan dipaksa mengaku mencuri komputer riba pada 21 Mei lalu.

Selepas dibelasah, Zulfarhan dibiarkan dalam keadaan kesakitan, dan pada 27 Mei keadaannya semakin parah selepas dibelasah dan ditekap dengan seterika.

Dua penuntut lain kemudian membawa mangsa ke klinik sebanyak dua kali iaitu pada 27 dan 31 Mei sebelum dirujuk ke hospital apabila keadaannya semakin teruk.

Zulfarhan bagaimanapun menutup mata selama-lamanya pada malam Khamis.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein melahirkan rasa sedih dan pilu sebaik mendengar berita kematian Zulfarhan.

Menerusi status terkini facebooknya, Hishamuddin berkata, beliau tidak dapat membayangkan keadaan keluarga arwah ketika menerima berita duka ini, ketika mereka sedang dalam persiapan menyambut hari lebaran.

“Jauh di sudut hati saya berdoa agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT atas kehilangan insan tersayang.

“Berat mata kita memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul.

Insiden kematian arwah Zulfarhan katanya, mengimbau peristiwa pahit ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 2004 dahulu.

“Ketika itu seorang pelajar di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat dibuli rakan sekolah.

“Peristiwa itu masih segar di fikiran saya dan memberi kesan yang besar.

“Kerana selepas kejadian itu, saya dan Kementerian Pelajaran bertungkus-lumus membanteras gejala buli di sekolah.

Barangkali peristiwa pada tahun 2004 katanya, berbeza dengan insiden yang menimpa arwah Zulfarhan.

“Namun, atas apa jua alasan, siapalah kita untuk mengambil tindakan melampau sehingga mengakibatkan kematian.

“Saya sama sekali tidak boleh menerimanya.

Sehubungan itu, tegasnya, beliau telah mengarahkan pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia untuk menjalankan siasatan pada kadar segera bagi mengetahui punca sebenar sekali gus mengenal pasti siapa yang terlibat.

“Saya konsisten sejak dahulu bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah dalam kejadian seperti ini,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru