Monday, December 5, 2022

MH128 diganggu lelaki mabuk bukan perampas, bawa powerbank bukan bom

Secara Rawak

PETALING JAYA: Bukan rampasan pesawat dan tiada bom dalam tragedi berlaku ke atas pesawat milik Malaysia Airlines, MH128 sehingga memaksanya berpatah balik ke Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Aziz Ab Kaprawi suspek warga Sri Lanka dalam tragedi MH128 sebaliknya mabuk sehingga tidak dapat mengawal dirinya serta membawa powerbank dan bukannya bom.

Memetik mstar 1 Jun, Aziz berkata kepada AFP, penumpang mabuk itu bertindak sendirian dan memaksa mahu memasuki kokpit pesawat.

Menurut Aziz, Malaysia Airlines mengamalkan tahap keselamatan yang tinggi, jadi mereka berpatah balik.

Mengulas tragedi tersebut, Naib ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari menggesa Malaysia Airlines menghentikan serta-merta hidangan minuman beralkohol yang boleh memberikan ancaman terhadap keselamatan penerbangan.

Beliau menggesa syarikat tersebut mencontohi syarikat negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Bahrain dan beberapa negara lain, termasuk Brunei Darussalam mengharamkan hidangan arak  dalam penerbangan.

Dalam kenyataannya yang disiarkan Harakahdaily 1 Jun lepas, Ahmad Fadhli berkata Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) memandang serius insiden yang disebabkan oleh penumpang mabuk.

Menurutnya ini bukan kali pertama penerbangan tergendala dan bermasalah akibat gangguan penumpang mabuk.

Menurut rekod, pada Januari lepas, mahkamah di Birmingham menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun 6 bulan ke atas John Cox kerana merokok di dalam pesawat.

John dilaporkan mabuk semasa menaiki Monarch Ailrines 27 Ogos 2015.

Sementara, kenyatan tersebut mengambil contoh satu lagi insieden penumpang Australia, Matt Lockley mabuk yang turut cuba menceroboh kokpit pada April 2014 dalam penerbangan VA41 dari Brisbane, Australia ke Bali, Indonesia.

DPPM menggesa kerajaan Malaysia membuat perubahan polisi segera dalam Malaysia Airline Berhad (MAB) dengan menghentikan serta-merta hidangan minuman beralkohol yang boleh memberikan ancaman terhadap keselamatan penerbangan.

FMT pada 2 Jun melaporkan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata alkohol bukan masalah kerana anak kapal boleh memilih tidak menghidang alkohol kepada penumpang seperti bermasalah.

“Kamu boleh pilih untuk tidak hidang alkohol kepada penumpang yang bermasalah atau kepada orang yang mabuk,” kata Nur Jazlan mengulas saranan Pas.

Nur Jazlan menambah, syarikat penerbangan lain juga menghidangkan arak, tetapi mampu menangani masalah dengan baik.

Manakala, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengulas bahawa Malaysia Airlines syarikat penerbangan antarabangsa dan penumpangnya bukan semua terdiri daripada orang Islam.

Ahli Parlimen Shah Alam, Amanah Khalid Samad berpendapat tiada keperluan menghidang arak dalam penerbangan.

Khalid berkata “bergantung kepada nasib”, kebanyakan penumpang boleh menahan diri dan mendengar kata, dan ada yang boleh menyerang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru