Saturday, October 8, 2022

163 tahi judi dijaring dalam 81 serbuan seluruh Sarawak bulan lalu — Dev

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak terus menggempur sarang perjudian di seluruh negeri dalam usaha mengekang penularan aktiviti tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner, Datuk Dev Kumar berkata, hasil 81 serbuan di 16 daerah pentadbiran polis di negeri ini sepanjang bulan lalu, sebanyak 163 tahi judi dijaring.

Datuk Dev Kumar

“Daripada jumlah itu, 63 serbuan dilakukan terhadap aktiviti loteri 4D haram, 13 serbuan judi siber, dua serbuan di gelanggang sabung ayam, dua serbuan kerana berjudi di tempat awam dan satu serbuan di rumah judi.

Katanya, 21 daripada serbuan itu dilaksanakan IPD Kuching, Padawan (12), Miri (9), Sibu (6), Sri Aman (6), Kota Samarahan (5), Sarikei (5), Limbang (5), Bintulu (3), Serian (2), Meradong (2) dan masing-masing satu oleh IPD Bau, Mukah, Marudi, Julau dan Saratok.

“Sebanyak 22 serbuan pula dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri,” jelasnya.

Serbuan terhadap peniaga 4D haram berjaya menahan 74 individu dan merampas sejumlah RM19,675 wang tunai.

“Sebanyak 21 serbuan dilaksanakan di Kuching manakala 11 lagi di Padawan yang turut menyaksikan telefon bimbit, mesin pencetak, kalkulator, slip pertaruhan dan pelbagai alat tulis berkaitan dirampas.

Serbuan di premis judi siber pula menghasilkan 46 tangkapan dan 115 unit komputer, tablet dan mesin judi ikan disita.

“Wang tunai berjumlah RM6,912 turut dirampas dalam lima serbuan di Miri dan masing-masing dua di Bintulu, Limbang, Sri Aman dan Kota Samarahan.

Dev berkata, dalam dua serbuan di gelanggang sabung ayam di Padawan dan Marudi, sebanyak 28 individu dicekup, dengan pelbagai peralatan berkaitan pertaruhan dirampas termasuk ayam sabung yang hidup dan mati.

“Daripada 163 individu yang ditangkap 43 daripadanya adalah wanita manakala kesemua suspek berumur 18 hingga 70 tahun termasuk 16 warga asing.

Menurut Dev, tangkapan dilakukan hasil maklumat awam kejayaan ini menunjukkan komitmen pasukannya untuk membanteras aktiviti perjudian di negeri ini.

“Kami ingin memberikan keyakinan kepada orang awam, bahawa operasi kami akan dilaksanakan secara berterusan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

Pada masa yang sama, Dev turut mengalu-alukan keputusan Majlis Perbandaran Padawan untuk menyemak semula empat lesen pusat hiburan keluarga di Kota Padawan dan Kota Sentosa yang disyaki terlibat dalam perjudian haram, dan berharap pihak berkuasa tempatan lain turut mengambil tindakan serupa.

“Pada masa yang sama, kami juga merayu agar Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bertindak lebih tegas dengan membekukan lesen-lesen pusat hiburan keluarga baharu di seluruh negeri,” tambahnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru