Orang tengah dan peniaga ambil kesempatan naik harga ikan – LKIM

0
4

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus yang berlaku sejak awal Ramadan bukan disebabkan kekurangan bekalan sebaliknya tindakan peniaga dan ‘orang tengah’ yang mengambil kesempatan bersempena musim perayaan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata  pihaknya mendapati kenaikan itu tidak munasabah kerana jumlah pendaratan ikan di kompleks pendaratan seluruh negara meningkat ketika ini.

Katanya hasil perjumpaan dengan wakil Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perikanan dan LKIM baru-baru ini juga dimaklumkan bahawa tempoh Mac hingga September merupakan musim ikan terbanyak di negara ini.

Menurut beliau jumlah pendaratan ikan oleh nelayan bagi April dan Mei lepas adalah melebih 153 juta kilogram dengan nilai lebih RM455 juta.

Justeru beliau memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menyorokkan bekalan itu dan tidak sesekali menaikkan harga ikan kerana tindakan itu mengakibatkan pengguna panik dan menyalahkan kerajaan.

“Kenaikan ini berlaku kerana tindakan orang tengah yang melakukan eksploitasi terhadap nelayan dan mereka biasanya memikirkan keuntungan lebih daripada kesejahteraan rakyat.

“Walaupun kenaikan harga ini dianggap sebagai trend sementara kerana permintaan pada musim perayaan, namun tindakan seperti ini tidak adil kepada pengguna yang ketika ini sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Peniaga juga haruslah ada sifat perikemanusiaan dan empati kepada rakyat,” katanya.

Irmohizam menasihati pengguna melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya mendapati harga yang dijual melambung naik.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu turut menyarankan KPDNKK menyenarai hitam peniaga yang sengaja menaikkan harga ikan sebagai langkah pencegahan supaya mereka menjual ikan pada harga berpatutan kepada pengguna.

Dalam mengimbangkan senario kenaikan harga tersebut, Irmohizam berkata Nekmat turut mempromosikan 50 tan bekalan ikan sejuk beku segar berkualitii dikenali Q’Fish pada harga berpatutan yang disimpan di pusat pengumpulan dan penggredan di Selayang, Selangor, Kuala Besut, Terengganu dan Kuala Kedah, Kedah.

“Melalui inisiatif ini orang ramai boleh mendapatkan ikan kembong pada harga serendah RM9.90 sekilogram, lebih murah dibandingkan harga yang dijual di pasaran selain mereka boleh mendapatkan ikan-ikan lain seperti selar, pelaling, selayang, cencaru, tilapia dan keli,” katanya. Bernama