Thursday, September 29, 2022

Team Gerak Sahur hidupkan amalan tradisi di Sri Aman

Secara Rawak

SRI AMAN: Lazimnya aktiviti mengejutkan penduduk kampung bagi bangun bersahur pada bulan Ramadan hanya berlaku di kampung-kampung pada era sebelum tahun 80-an.

Walaupun amalan itu mula ditelan zaman, namun sekumpulan enam remaja yang berusia sekitar 14 hingga 21 tahun yang mahu dikenali sebagai ‘Team Gerak Sahur’ dari Kampung Hilir Sri Aman cuba mengembalikan tradisi itu.

Uniknya, sepanjang bulan Ramadan bermula jam 3 hingga 4 pagi, remaja terbabit akan berjalan di sekeliling kawasan kampung tersebut untuk mengejutkan penduduk sekitar supaya bangun bersahur.

Dengan paluan hasil gabungan alat muzik ‘kitar semula’ yang dimainkan, remaja itu bernyanyi dengan nada kuat menyusuri jalan kampung sambil melaungkan: “Sahur…sahur…sahur…bangun…….bangun…..,”

Antara alatan muzik yang digunakan adalah bekas tong cat, talam terpakai, mangkuk zink, kayu, botol dan lain-lain bagi menghasilkan bunyian.

Meskipun hanya menggunakan alatan murah dan tidak berjenama, Team Gerak Sahur Kampung Hilir Sri Aman masih mampu menghasilkan alunan muzik yang menghiburkan penduduk, sekali gus mengejutkan masyarakat Islam di situ untuk bangun bersahur.

Setelah tuan rumah sedar daripada tidur, remaja ini akan bergerak beramai-ramai ke rumah penduduk kampung yang lain dan mengulangi perkara sama sehingga selesai semua rumah pada pukul 4 pagi.

Seorang penduduk, Mohamad Adi Sharman, yang ditemui memberitahu amalan mengejutkan bangun sahur seperti itu sudah semakin pupus ditelan arus kemodenan zaman dan jarang ditemui kini.

Menurutnya, tradisi berkenaan perlu diteruskan pada setiap tahun menjelang Ramadan bagi menghidupkan warisan yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

Tambah Adi, aktiviti yang dahulunya dipelopori golongan dewasa kini diwarisi generasi muda. Justeru, penduduk kampung berharap tradisi yang digerakkan oleh Team Gerak Sahur Kampung Hilir Sri Aman ini akan dapat dikekalkan.

“Semoga di masa akan datang, akan ramai lagi generasi muda lain di sini akan terlibat sama dan seterusnya dapat meneruskan kegiatan seperti ini,” ujarnya.

Mohd Sabri Haji Jimi, 21, anggota kumpulan ‘Team Gerak Sahur Kampung Hilir Sri Aman’ berkata dia bersemangat berkumpul bersama-sama rakan-rakan seawal jam 3 pagi semata-mata tidak mahu terlepas mengikuti program berkenaan.

“Cukup menyeronokkan walaupun terpaksa bangun awal pagi bersama rakan lain untuk mengejutkan orang bangun untuk bersahur. Daripada aktiviti ini saya dapat kepuasan di samping beramal di bulan yang mulia ini, ” katanya.

Jelas Sabri lagi, aktiviti seperti itu dapat memelihara budaya masyarakat Melayu dan Islam ketika meraikan bulan puasa.

“Saya bangga dan gembira kerana melihat rakan lain bersemangat bersama-sama menyertai program yang ideanya dicetuskan oleh kami sendiri dan dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

Meskipun hanya dijalankan secara sukarela dan tidak mendapat imbalan berupa upah untuk tugas itu namun mereka berharap amalan baik mereka itu akan mendapat limpahan rahmat daripada Allah. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru