Monday, June 27, 2022

Lelaki Sri Lanka ancam bom pesawat MAS di Melbourne, polis gempur pesawat

Siasatan awal mendapati suspek memiliki sejarah mental dan berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol

Secara Rawak

MELBOURNE: Pesawat Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Melbourne di Tullmarine semalam selepas seorang penumpang cuba memasuki ruang kokpit dan mendakwa memiliki bahan letupan.

Bagaimanapun kecekapan seorang penumpang lain berjaya menumpaskan suspek tersebut, sebelum merebah dan mengikatnya.

Menurut saksi, kejadian berlaku selepas 20 minit penerbangan Airbus A330 dari Melbourne ke Kuala Lumpur berlepas.

Sejurus tiba, pasukan keselamatan bersenjata lengkap menggempur pesawat MH128 tersebut sejurus mendarat di laluan RWY16 dan diparkir di ruang “K” yang agak terasing.

Siasatan awal kemudian mendapati suspek merupakan warga Sri Lanka dan peralatan yang disangka bahan letupan pada awalnya, merupakan pengecas kuasa mudah alih.

MH128 berlepas dari Melbourne sekitar jam 11.11 malam tadi dan berada pada ketinggian 2000 meter sebelum berputar untuk kembali ke lapangan terbang pada jam 11.41 malam.

Pemeriksaan lanjut Polis Persekutuan Australia (AFP) tidak menemui bahan letupan dan percaya, ancaman bom itu tiada kaitan dengan pihak pengganas.

Difahamkan lelaki yang bertanggungjawab tersebut kini ditahan pihak AFP dan Polis Victoria.

Siasatan awal mendapati suspek memiliki masalah mental.

Jurucakap NW Metro, Superintendan Tony Langdon memberitahu, pasukan Gerak Khas menaiki pesawat dan menahan suspek sejurus ia mendarat.

“Sekitar empat kilometer dari ruang udara Lapangan Terbang Melbourne, seorang lelaki dari kelas ekonomi menjerit bahawa dia membawa bom dan cuba bergerak ke kawasan kokpit.

“Bagaimanapun usahanya dihalang oleh kru penerbangan dan sebilangan penumpang lain.

Juruterbang kata Langdon, kemudian mengaktifkan isyarat dan prosedur kecemasan sebelum kembali ke lapangan terbang.

Lapangan Terbang Melbourne kini hanya membuka satu laluan sahaja dan kelewatan dijangka berterusan hingga lewat pagi.

Lapangan terbang itu juga ditutup tetapi mula menerima ketibaan dan pelepasan sekitar jam 2.30 pagi tadi, waktu tempatan.

Pesawat-pesawat yang tiba telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Avalon.

Penumpang pesawat MH128 kini masih terkandas di lapangan terbang tersebut, dengan bagasi masih di dalam pesawat. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru