Thursday, September 29, 2022

Papan tanda dwibahasa, berkomunikasi hanya Bahasa Inggeris di pekarangan sekolah dilaksana serta-merta di Sarawak — Manyin

Secara Rawak

KUCHING: Berkuat kuasa serta-merta, semua sekolah di negeri ini dikehendaki menyediakan dua papan tanda yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam premis bangunannya.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, arahan telah pun dikeluarkan kepada sekolah-sekolah, menerusi surat kementerian kepada Jabatan Pendidikan Negeri pada Isnin lalu untuk melaksanakan arahan tersebut.

“Kita juga akan meminta semua guru besar dan pengetua menggunakan Bahasa Inggeris ketika perhimpunan dan semua sekolah akan menggunakan salutasi yang seragam dalam bahasa tersebut.

“Ia bertujuan untuk mewujudkan budaya mahir berbahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur dekat sini sebentar tadi.

Kata Manyin lagi, pihak kementeriannya juga menulis kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri ini, tanpa mengira latar politik untuk menyakinkan ibu bapa dan guru di kawasan mereka agar menggunakan bahasa Inggeris sewaktu berada di dalam premis sekolah anak-anak mereka.

“Kita mahu semua pelajar, guru dan ibu bapa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di persekitaran sekolah kecuali ketika mereka berada di dalam bilik darjah.

“Ini kerana di dalam bilik darjah, mereka perlu akur akan medium bahasa yang digunakan.

Ketika ini katanya, tindakan itu telah dipraktiskan di dua buah sekolah di negeri iaitu di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai dan Sekolah Kebangsaan Ba’kelalan di Limbang.

“Justifikasi pelaksanaan arahan itu adalah disebabkan kegagalan graduan- graduan universiti hari ini menguasai Bahasa Inggeris dengan baik hingga menyebabkan mereka gagal mendapat tempat dalam pasaran kerja.”

Bahasa Inggeris kini dijadikan medium pengajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dikendalikan oleh kementerian itu untuk sekolah-sekolah di negeri ini.

Sarawak telah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua negeri ini, sejak era pentadbiran Tan Sri Adenan Satem. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru