Monday, June 27, 2022

Lupakan perbezaan, cari persamaan untuk julang martabat kaum Dayak — Abang Jo

Secara Rawak

* Perutusan Sambutan Gawai Dayak oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg

Sempena sambutan Perayaan Gawai Dayak tahun ini, bagi pihak saya sendiri dan keluarga, saya mengucapkan salam sejahtera dan selamat menyambut Hari Gawai kepada semua anak Sarawak berketurunan Dayak, tidak kira di mana saudara dan saudari berada.

Saya percaya ramai yang sudah berada di sisi keluarga atau sedang menuju ke rumah panjang atau kampung halaman masing-masing dengan menggunakan kenderaan darat, bot ekspres atau kapal terbang untuk bersama-sama keluarga dan sahabat-handai pada 1 Jun.

Saya tahu ramai rakan kita daripada kaum Dayak seperti orang Iban yang berada di perantauan khususnya di Semenanjung atau di luar negara yang sekarang ini bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing.

Baharu sahaja bulan lepas saya bersama-sama dengan masyarakat Dayak yang berada di Johor untuk meraikan majlis pra-Gawai.

Seramai 40 ribu anak Sarawak keturunan Dayak, khususnya orang Iban, berada di Johor, berbekal semangat “bejalai” yang diamalkan sejak dari dahulu lagi untuk mencari rezeki.

Kepada saudara dan saudari yang membawa kenderaan, pandulah dengan cermat dan dengan penuh timbang rasa agar semua sentiasa selamat di atas jalan raya.

Kepada mereka yang menaiki bot ekspres, jagalah keselamatan diri anda dengan mematuhi arahan anak-anak kapal dan pegawai-pegawai Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Di samping itu, saya menyeru agar saudara dan saudari berbelanja secara sederhana. Elakkan daripada membeli barang-barang yang tidak diperlukan dan juga elakkan pembaziran.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebagai rakyat Bumi Kenyalang yang sentiasa menghargai keamanan dan keharmonian, kita amat bersyukur kerana masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama dapat meraikan perayaan mengikut agama dan tradisi masing-masing dalam suasana aman dan damai.

Saya yakin seluruh warga Bumi Kenyalang turut berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan kita keturunan Dayak yang menyambut Hari Gawai pada tahun ini.

Perayaan Gawai Dayak adalah temasya yang berkisar pada tradisi menanam dan menuai padi.

Gawai yang diadakan selepas musim menuai padi merupakan perayaan yang penting kepada kaum Dayak dalam keinginan untuk menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kejayaan yang dicapai pada tahun yang sudah dan semoga tahun yang akan datang membawa lebih kejayaan.

Namun, dalam konteks masa kini, Gawai dalam masyarakat Dayak dan masyarakat umum berperanan lebih daripada suatu temasya. Musim Gawai adalah ketika masyarakat Dayak seharusnya melupakan perbezaan dan mencari persamaan untuk mengangkat identiti dan martabat kaum Dayak.

Tidaklah menjadi kesalahan untuk berbeza pendapat tetapi titik persamaan haruslah menjadi suatu yang perlu diusahakan pada setiap masa untuk kebaikan keseluruhan masyarakat Dayak.

Pemimpin-pemimpin kaum Dayak yang lampau mempunyai pandangan yang jauh pada tahun 1963 ketika berusaha mendapatkan pengiktirafan bahawa perlu ada suatu hari kelepasan umum untuk merayakan Gawai kaum Dayak di Sarawak.

Antara mereka yang giat memohon pengiktirafan ini ialah mendiang Datuk Tra Zehnder dan ayahanda saya sendiri, Tun Abang Haji Openg.

Gawai Dayak yang diraikan pada kali pertama pada tahun 1965 adalah faktor penyatuan dan simbol identiti kaum Dayak.

Saudara dan saudari sekalian,

Kepelbagaian budaya, keturunan dan agama bukanlah penghalang untuk kita menjadi sebuah masyarakat yang bersatu dan harmoni berasas semangat hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kita di Sarawak amat bertuah kerana agama dan keturunan tidak pernah mendatangkan isu kepada semangat perpaduan kita.

Pada masa dahulu, masyarakat kita daripada pelbagai keturunan dan agama mempunyai tali persaudaraan yang begitu erat dengan amalan seperti ziarah- menziarahi antara satu sama lain dan duduk semeja di kedai-kedai kopi untuk berkongsi pendapat dan jalan cerita kehidupan sehari-harian.

Ini adalah suatu gambaran betapa dekatnya persaudaraan masyarakat kita pada masa dahulu.

Saya pasti banyak lagi kisah-kisah serupa yang kita alami yang menjadi gambaran keakraban masyarakat di Sarawak pada masa yang lampau.

Saya amat berharap semangat persaudaraan yang ikhlas seperti ini dapat kita pupuk kembali dalam usaha kita bersama untuk terus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan kita.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada bulan Januari yang lepas, kita kehilangan seorang pemimpin yang amat disanjungi oleh rakyat Sarawak.

Pada tanggal 11 Januari, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Haji Satem pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya.

Dalam tempoh singkat Allahyarham menjadi Ketua Menteri yang kelima, lebih 50 inisiatif dan tindakan telah dilakukan untuk memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat dan untuk kepentingan negeri Sarawak.

Saya ingin menekankan di sini bahawa saya akan meneruskan tindakan-tindakan dan dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh Tok Nan.

Keputusan-keputusan seperti tidak lagi memberi lesen balak di atas tanah-tanah Kerajaan dan tiada lagi permit untuk membangunkan estet kelapa sawit masih berkuat kuasa.

Sementara itu saya memberi jaminan bahawa perundingan dengan Putrajaya untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis, perundingan dengan Petronas dan sebagainya akan diteruskan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pemimpin daripada pelbagai kaum yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan usaha memimpin negeri Sarawak ke arah sebuah negeri maju.

Seperti yang telah banyak diperkata dalam tempoh dua bulan lebih saya menjadi Ketua Menteri ke-enam Sarawak, Kerajaan pimpinan saya bertekad memberi tumpuan yang jitu kepada beberapa inisiatif untuk melonjakkan ekonomi negeri Sarawak kepada sebuah ekonomi digital.

Saya amat yakin bahawa ekonomi yang berasaskan Internet akan membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk Sarawak melangkah ke era baharu yang tidak mengenal sempadan politik dan fizikal.

Jumlah penduduk negeri Sarawak kecil untuk menjadi asas ekonomi yang kukuh. Kawasan Asia dengan jumlah penduduk keseluruhannya 3 bilion adalah tempat kita menaruh harapan untuk membangunan sebuah ekonomi era digital yang dinamik.

Selaras dengan impian kita untuk menjadi sebuah ekonomi digital, usaha gigih sedang dilakukan untuk menyediakan lebuh raya Internet sehingga 4 terabit sesaat dan sekurang-kurangnya 100 megabyte sesaat untuk setiap isi rumah supaya rangkaian internet kita berkelajuan tinggi.

Sarawak memerlukan rangkaian internet yang pantas supaya mampu menyokong pembangunan sebuah ekonomi digital dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Saya sudah menyatakan komitmen untuk membelanjakan RM1 billion dana negeri Sarawak sendiri untuk membangunkan infrastruktur ICT termasuk pembinaan 5,000 menara telekomunikasi di seluruh negeri ini.

Pihak Telekom Malaysia sudah pun menyahut seruan kita dan saya amat berharap mulai Jun ini, kita akan menikmati perkhidmatan Internet yang lebih pantas dengan peningkatan kelajuan induk Internet daripada 1.3 terabit sesaat yang ada sekarang kepada 4 terabit sesaat.

Saudara dan saudari sekalian,

Negeri kita seharusnya mampu mempunyai sumber kewangan sendiri untuk memangkin pembangunan prasarana dan kemudahan untuk rakyat.

Kita tidak lagi boleh sentiasa menunggu dana daripada Kerajaan Persekutuan kerana terbukti proses ini telah melambatkan pembangunan negeri Sarawak.

Oleh itu, kita menubuhkan Development Bank of Sarawak atau DBOS sebagai sumber kewangan kita sendiri. Model kewangan baharu ini akan membolehkan kita untuk melaksanakan beberapa projek strategik nanti.

Antaranya seperti yang sudah diumumkan kita akan menggunakan sumber kewangan daripada DBOS untuk membaiki atau membina semula ratusan sekolah yang daif di luar bandar dan kos-kos terlibat dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan kepada kita.

Ini sudah pun dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dalam satu perundingan minggu lepas.

Di samping kejayaan menubuhkan DBOS, saya juga berasa bangga kerana negeri Sarawak kini memiliki Empangan Hidro Bakun yang selama ini dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak mengambil alih Empangan Bakun dengan kos yang berpatutan sebanyak RM2.5 bilion bersama-sama hutang sebanyak RM5.6 bilion yang akan dibayar secara ansuran dalam tempoh 15 tahun menggunakan hasil pulangan operasi Empangan Bakun sendiri.

Empangan ini sudah menjadi milik penuh kita dan ini bererti kita mempunyai hak mutlak untuk mempastikan Bakun diurus dan dibangunkan dengan baik.

Saudara dan saudari sekalian,

Buat pertama kalinya Kabinet Sarawak mempunyai seorang Menteri Pendidikan untuk mempastikan pendidikan dan prasarana pendidikan di negeri ini diberi perhatian yang khusus.

Sekarang kita mempunyai seorang menteri yang diberi mandat politik untuk berunding dengan Putrajaya mengenai hal-hal pendidikan di Sarawak.

Saya yakin dengan seorang menteri yang diberi mandat khusus mengenai pendidikan, negeri ini mampu menentukan sekolah-sekolah terutama sekali di luar bandar adalah kondusif untuk pembelajaran di samping memastikan pembelajaran Bahasa Inggeris terus diperkukuh.

Saudara dan saudari sekalian,

Berlatarbelakangkan trend ekonomi ke arah penggunaan teknologi komputer dan internet, kita tidak mempunyai banyak pilihan selain bergerak ke hadapan mengikut arus.

Jika kita tidak berusaha membangunkan ekonomi digital sekarang nescaya kita akan ketinggalan. Jika kita tidak bergerak pantas dan hanya menunggu bantuan daripada pihak lain nescaya juga kita akan ketinggalan.

Dalam 100 hari saya memegang jawatan sebagai Ketua Menteri, beberapa inisiatif telah diumumkan untuk tujuan melonjakkan ekonomi Sarawak ke era ekonomi digital di samping terus memberi tumpuan kepada pembangunan industri.

Pengumuman yang dibuat bukanlah retorik semata-mata kerana saya akan memastikan semua inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada musim perayaan seperti Gawai, sudah menjadi kebiasaan rakyat Sarawak untuk berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan mereka melalui amalan kunjung-mengunjung dan semangat hormat-menghormati tradisi dan budaya kaum-kaum lain.

Saya percaya kita semua sebagai rakyat negeri Sarawak berasa amat bertuah kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini sudah lama mengenali erti saling menerima dan saling hormat- menghormati antara satu sama lain.

Kepelbagaian kita harus menjadi kekuatan dan bukannya faktor pemisahan dan perpecahan antara kaum.

Keakraban yang ikhlas dalam masyarakat majmuk kita pada masa lampau patut menjadi pedoman persaudaraan kita masa kini.

Kepada rakan-rakan kita daripada keturunan Dayak, saya amat berharap saudara dan saudari bergembira menyambut Gawai di samping sanak- saudara dan sahabat-handai.

Saya menyeru kepada mereka yang bukan daripada keturunan Dayak untuk mengambil peluang pada musim Gawai ini untuk ngabang ke rumah-rumah rakan-rakan mereka yang berketurunan Dayak.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan:

Selamat Gawai Dayak
Selamat Andu Gawai Dayak
Selamat Do Gawai Dayak
Sekian. Terima kasih.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru