Tuesday, August 16, 2022

Konflik di Marawi: 2,000 penduduk terperangkap dalam pertempuran

Secara Rawak

Pertempuran antara kumpulan Maute dengan tentera Filipina di Marawi telah berlarutan selama lebih seminggu.

Komander kumpulan itu, Isnilon Hapilon yang  dikatakan cedera dipercayai masih bersembunyi dalam bandar itu.

Dilaporkan kira-kira 2,000 penduduk bandar ini masih terperangkap di kawasan yang dikuasai kumpulan militan.

Lebih seratus orang, termasuk tentera terkorban dalam konflik dahsyat itu yang menyaksikan rumah, bangunan, gereja dan sekolah musnah dan terbakar.

Tiga rakyat Malaysia, seorang Indonesia dan seorang lagi dipercayai anggota militan berketurunan Arab terkorban dalam pertempuran tersebut.

Kumpulan militant berkenaan berhasrat mewujudkan wilayah ISIS di Marawi.

Rumah penduduk majoriti Islam sebahagiannya musnah akibat dibedil oleh pesawat pejuang kerajaan yang menyasarkan kumpulan militan berkenaan.

“Kami  sekian lama bekerja keras untuk membina rumah ini tetapi semuanya kini hancur musnah,” kata seorang penduduk dipetik media.

Malah, sebahagian besar penduduk bandar 200,000 jiwa ini terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa.

Ada daripada mereka yang terkepung dalam pertempuran berkenaan.

Anggota militan yang lengkap bersenjata terus memberi tentangan sengit.

Susulan  pertempuran  sengit yang dilancarkan militan Maute, kini penduduk  bimbang tentang nasib dan masa depan mereka.

Sampai bilakah konflik itu akan berlarutan?

Konflik itu tidak akan berakhir dalam waktu terdekat.

Pihak berkuasa Filipina akan terus menggempur kumpulan militant terbabit bagi memastikan keadaan kembali stabil dan selamat.

Mereka memeriksa bangunan dan rumah tempat persembunyian puak militant Maute.

Malah, tentera terus memperhebatkan serangan roket ke atas kubu kuat kumpulan militan menggunakan helikopter.

Saki baki anggota militan tersebut  digesa supaya menyerah diri demi menyelamatkan nyawa orang awam.

Tawaran menyerah diri itu bertujuan untuk mengurangkan kerosakan di kawasan terlibat, dan  mengelak kerugian besar di pihak awam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru