Saturday, December 3, 2022

Isu The Star: Media perlu sensitif paparkan kandungan, gambar

Secara Rawak

PETRAJAYA: Di sebalik kontroversi yang kini memerangkap akhbar The Star, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong meminta pihak media bersikap lebih sensitif dari segi pemaparan  kandungan dan susun letak gambar serta berita.

Akhbar milik MCA itu menyiarkan gambar umat Islam bertarawih dengan tajuk “Malaysian Terrorist Leader” yang dianggap tidak sensitif di muka depan oleh umat Islam di negara ini.

Yang memburukkan lagi keadaan ialah iklan berkaitan dengan urut yang disiarkan di bahagian bawah akhbar tabloid itu.

Pihak akhbar itu menurut pemerhati tentu terlepas pandang dan tidak mempunyai agenda tersembunyi, apatah lagi menyinggung umat Islam ketika mereka menjalani ibadah pada bulan Ramadan.

Akhbar itu mengakui menjadi amalannya menyiarkan gambar umat Islam bertarawih di muka depan sejak berdekad lalu sebagai menghormati amalan beragama orang islam di negara ini.

Jadi, tajuk di atas gambar berkenaan disifatkannya kebetulan.

Halaman depan yang mencetuskan kontroversi  yang disiarkan Sabtu lalu dikritik pelbagai pihak meskipun ada kalangan yang menyifatkan reaksi sesetengah pihak  sebagai berlebihan kerana membaca serta mentafsir halaman berkenaan secara keterlaluan.

Menurut Ka Siong, edisi berkenaan tentu telah menimbulkan persepsi tertentu dalam kalangan pembaca.

“Kadangkala persepsi berlaku. Kita perlu lebih sensitif,” katanya pada  sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada reaksi ramai terhadap akhbar itu memperlihatkan tanda wujudnya ekstremisme agama, Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, orang ramai pada amnya perlu lebih sensitif.

Beliau mengakui bukan tujuan akhbar itu untuk menggambarkan umat Islam negara ini sebagai pengganas.

Namun, ujarnya, pembaca mungkin mempunyai persepsi berlainan terhadap paparan akhbar berkenaan.

Mengenai tindakan organisasi akhbar itu yang menggantung dua editor kanannya, Timbalan Presiden MCA itu berkata, parti itu menghormati tindakan yang diambil oleh lembaga pengarah dan juga Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Susulan tajuk dan gambar muka depan itu,  KDN yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran, penggantungan atau penarikan balik permit penerbitan telah memberi surat tunjuk sebab kepada The Star Isnin lalu.

Akhbar itu pernah digantung  ketika pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah Operasi Lalang bersama-sama sebuah akhbar Cina dan Melayu pada 1987.

Polis menyiasat kes itu di bawah Akita Hasutan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru