Friday, September 30, 2022

Gawai Dayak, tuak, keharmonian dan kembali kepada keluarga tersayang

Secara Rawak

Salah satu perayaan yang disambut setiap tahun oleh penduduk tempatan Sarawak ialah Gawai Dayak.

Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut oleh kaum peribumi Sarawak, terutamanya masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga masyarakat Dayak di Kalimantan Barat.

Kebanyakan keluarga Dayak masih tinggal di rumah panjang dan sebahagiannya hidup berkelompok di kampung-kampung.

Terdapat juga mereka yang menjadi penghuni di bandar-bandar utama untuk mencari pekerjaan dan sara hidup.

Gawai bermakna pesta, Jadi Gawai Dayak merupakan perayaan sambutan kaum Dayak. Gawai Dayak merupakan hari untuk meraikan Tahun Baharu yang menandakan berakhirnya musim menuai dan permulaan tanaman padi musim baharu. Ia adalah musim perayaan tradisi dan sosial.

Sarawak sangat unik kerana berjaya menyatukan pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan.

Inilah sikap yang baik untuk semua kaum terutama yang berkaitan dengan adat dan budaya.

Dengan adanya perayaan seumpama ini, ia dapat memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat untuk mengenal erti kesatuan dan menghormati amalan budaya serta kepercayaan masing-masing.

Semoga amalan yang baik ini terus dikekalkan dan masyarat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan dapat hidup aman dan selamat, bebas daripada pengaruh budaya asing yang tidak sesuai dengan adat resam dan budaya orang Sarawak.

Seperti yang anda pernah dengar; perkataan “Gayu Guru Gerai Nyamai” menjelang musim perayaan Gawai Dayak.

Tahukah anda apakah maknanya? Ia sebenarnya bermakna kehidupan yang panjang, kesihatan dan kemakmuran dalam bahasa Iban.

Semasa musim perayaan Gawai Dayak, tuak akan dihidangkan. Tuak beras ialah sejenis minuman masyarakat kaum Iban pada masa dahulu. Biasanya tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil “Beras Pulut”.

Kepada kaum Dayak Sarawak yang meraikan perayaan Gawai Dayak, kita ingin menasihatkan mereka yang balik kampung sama ada melalui darat dan air agar berhati-hati.

Jangan berebut-rebut ketika anda pulang ke destinasi masing-masing sehingga mengabaikan keselamatan. Jangan minum sambil memandu kerana keluarga di rumah menanti anda dengan penuh kasih sayang.

Selamat menyambut perayaan Gawai kepada seluruh kaum Dayak dan semoga anda semua balik ke pangkuan keluarga anda dengan selamat.

Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang

* Jofri Jaraiee merupakan Pesuruhjaya PAS, Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru