TATAU: Seorang pemandu maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas, sebelum terbalik di dalam longkang di Batu 88, Jalan Tatau-Sibu, dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.17 malam tadi dari Balai Polis Tatau dan sebuah jentera Atego dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.

“Tiba di lokasi 27 minit kemudian, pasukan mendapati ada mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Operasi penyelamatan katanya, kemudian dijalankan dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari kereta.

“Bagaimanapun kecederaan parah di bahagian kepala menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa malang tersebut kata Ling Hii, kemudian dikenal pasti sebagai Gaie@Maing Nyarapong , 56 tahun.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Sarawakvoice