Kerajaan sekali lagi digesa mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan

KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan perlu memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak  (PPPA) 1984 kerana sudah lapuk dan boleh disalah gunakan untuk membungkam media, gesa Gerakan Media Merdeka (GERAMM).

Kenyataan itu dibuat di sebalik gesaan pelbagai pihak supaya tindakan diambil terhadap akhbar The Star kerana terlepas pandang tajuk utama dan gambar yang disiarkan pada muka depan Sabtu lalu.

Dalam situasi semasa, kata GERAMM percaya sudah tiba masanya bagi semua pihak berkepentingan untuk beralih dari menggesa kerajaan mengambil tindakan di bawah undang-undang lapuk, ke arah pembentukan industri media yang dikawal selia kendiri tanpa campur tangan kerajaan.

“GERAMM sekali lagi menegaskan pendirian kami bahawa PPPA haruslah dimansuhkan dan ancaman tindakan penggantungan permit tidak lagi seharusnya digunakan keatas mana-mana media,” katanya dalam satu kenyataan.

“Dengan itu, GERAMM turut menggesa semua pihak untuk kekal bertenang dan mengelak daripada membuat kesimpulan secara terburu-buru dalam apa-apa isu, termasuk dalam menghadapi ancaman keganasan,” katanya.

GERAMM  menegaskan penggantungan mana-mana agensi media, walaupun hanya untuk sehari, akan memberi kesan terhadap seluruh operasi dan memangsakan semua pekerja agensi terbabit.

Gerakan itu mengambil maklum pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang digambarkan sebagai cubaan oleh akhbar milik MCA itu untuk mengaitkan umat Islam dengan tindakan keganasan melalui penggunaan tajuk yang tidak berkaitan dengan gambar utama.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil maklum gesaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli politik agar pihak Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan The Star.

“Kononnya atas alasan penggunaan gambar jemaah solat terawih bersama tajuk “Malaysian Terrorist Leader” boleh menyampaikan mesej yang menyinggung sensitiviti umat Islam di Malaysia.

“Namun, GERAMM tegas dengan pendirian bahawa Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) adalah akta lapuk yang boleh dan telah disalah gunakan untuk membungkam media,” katanya.

Kerajaan di bawah pimpinan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meminda akta terbabit pada 2012, termasuk memansuhkan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan, menggantung atau menarik balik permit penerbitan.

Pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan, menggantung atau menarik balik permit penerbitan akhbar. Malah, keputusan itu tidakboleh dicabar di mahkamah. – Sarawakvoice