Pengkaji dakwa India miliki populasi paling ramai di dunia, bukan China

BEIJING: Ekoran dasar perancangan Program Satu Anak yang ketat selama ini, statistik yang meletakkan China memiliki warga tua teramai di dunia, akan semakin buruk.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan sekitar 500 juta orang di China berusia 60 tahun ke atas menjelang pertengahan abad ini.

Angka ini mewakili 15.5 peratus populasi China pada 2014.

Ini meletakkan China bukan sahaja memiliki penduduk paling ramai di dunia, bahkan turut memiliki populasi warga lanjut usia terbesar di dunia.

Pengkaji dari University of Winconsin-Madison, Yi Fuxian bagaimanapun berkata, pada 2016 penduduk sebenar China mengikut kajian ialah 1.29 bilion jiwa.

South China Morning Post pada Sabtu lepas melaporkan pandangan Yi bahawa populasi China tinggi selepas 1990 adalah salah.

Yu berkata, pada 1991 hingga 2016 hanya terdapat 377.6 juta kelahiran berbanding data rasmi yang diwartakan Biro Statisitik Nasional China iaitu 464.8 juta kelahiran.

Jika dakwaan tersebut terbukti benar, sangat jelas bahawa China bukan negara memiliki  jumlah penduduk terbesar dunia.

Sebaliknya dengan memiliki 1.33 bilion penduduk pada 2016, India layak menjadi negara paling ramai penduduk di dunia.

Pada 2015, China mendakwa memiliki 1.37 bilion penduduk.

Dengan pendedahan statistik terkini itu, jika benar, maka jumlah populasi China pada 2017 dikalahkan oleh populasi India.

Perihal China menduduki ranking kedua penduduk paling ramai di dunia, bukanlah masalah utama bagi Yi.

Namun, jika datanya benar, andaian China dihuni warga lanjut usia, sebenarnya lebih serius daripada yang dikhuatirkan.

China sejak mendapat respons kajian PBB itu, pada 2011 mula melonggarkan Program Satu Anak, tetapi masih tidak menarik sepenuhnya program perancangan keluarga tersebut.

Kajian Yi mendapat sokongan pengkaji lain  dari Akademi Ilmu Sosial Shanghai, Liang Zhongtang.

Liang mendesak kerajaan segera menghapuskan Program Satu Anak yang sudah berlangsung 40 tahun di China. – Sarawakvoice