Tuesday, October 4, 2022

Kempen MyRamadan 1438H: MyCare sasar kutip RM5 juta bantu mangsa 21 negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Mengambil keberkatan Ramadan yang mulia, badan amal Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengajak rakyat Malaysia merebut peluang beramal meringankan beban manusia yang menderita di negara bersengketa melalui Kempen MyRamadan 1438H.

Memetik mycare.org.my, melalui agensi MyCare; Aqsa Syarif, i4Syria, Salam Iraq, Rose2Rose, dan NICE, MyCare menyusun langkah membantu lebih 100,000 insan kurang bernasib baik di 21 negara sepanjang Ramadan dan Syawal dengan sasaran mengumpul dana bernilai RM5 juta.

Menurut laman sesawang myCare mencatatkan, kebuluran di Yaman mencecah 462,000 melibatkan kanak-kanak.

Sementara, di Somalia seramai 944,000 kanak-kanak kekurangan zat makanan secukupnya.

Ketidakstabilan di Iraq terutama Mosul pula mengakibatkan 330,000 pelarian dalam negara terpaksa keluar dari rumah mereka dan hidup serba kekurangan.

Di Gaza, bekalan makanan semakin payah diperoleh sehingga menjejaskan 2 juta penduduk Palestin yang dianggap sebagai di penjara paling besar di dunia kerana dikepung tentera rejim zionis.

Penduduk Syria di beberapa kawasan termasuk Madaya masih kebuluran akibat sekatan yang dilakukan oleh pemerintah Bashar al-Assad.

Memetik laporan Bernama pada Ahad, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam kenyataan berkata, bantuan yang diberikan sempena Ramadan berupa pek makanan bagi sahur dan iftar serta keperluan asas seperti beras, tepung, minyak, susu dan kurma.

Sumbangan awal makanan dilakukan pada pertengahan Mei.

Sementara, bantuan seterusnya dihantar pada minggu ketiga Ramadan melalui rakan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) di negara berkenaan dengan harapan “Ibadah Kita, Kegembiraan Mereka”.

Untuk bantuan Aidilfitri, Kamarul berkata, MyCare menyediakan sumbangan berupa pakaian baharu dan duit raya kepada kanak-kanak bagi menyerikan sambutan hari raya mereka.

MyCare turut menghantar kelengkapan khemah kepada keluarga di Syria dan Turki yang ketika ini mengalami musim hujan.

MyCare mempunyai pengalaman tujuh tahun merealisasikan misi bantuan kemanusiaan ini dan percaya bantuan ini sampai terus kepada umat Islam yang memerlukan kerana MyCare mempunyai hubungan baik dengan NGO di lokasi.

Pada Ramadan ini, MyCare turut menyusun aktiviti kempen Program Imam Palestin dengan para hufaz Palestin akan mengimami solat Tarawih di masjid dan surau terpilih, selain berkongsi isu terkini tentang Palestin.

Pada tahun ini, MyCARE menyasarkan sebanyak 300 tempat untuk sesi perkongsian ini.

Sementara, dalam aktiviti Pembela Ummah, aktivis lapangan MyCare berkongsi pengalaman kemanusiaan dan perkembangan terkini berkaitan Palestin, Syria, Iraq dan Rohingya terus kepada jemaah di surau atau masjid atau langsung di sekolah, syarikat dan pejabat kerajaan di seluruh negara.

Bagi pakej tajaan makanan Ramadan (sahur, iftar & pek makanan) bernilai RM100 seunit.

Manakala, hadiah raya bernilai RM50 seunit.

Untuk membuat sumbangan, sila klik laman sesawang http://www.billplz.com/myramadan.

Sumbangan juga boleh dibayar melalui akaun berikut dan maklumkan sumbangan anda kepada ramadan@mycare.org.my.

CIMB Islamic: 8602-135-592
MaybankIslamic: 5642-5856-0698
Bank Islam: 1209-2010-0349-04
JomPAY (ID: 6197)

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Umum: Sazlie (018-383 2458, 03-8941 2341, ramadan@mycare.org.my)
Imam Palestin: Luqman (019-4815584, relations@mycare.org.my)
Pembela Ummah: Aiman (012-279 9734, aiman@mycare.org.my

Sementara itu, pada 25 Mei lepas pada pelancaran Program MyRamadan 1438H bertemakan “Ibadah Kita, Kegembiraan Mereka”, MyCare menyalurkan bantuan kepada Orang Asli seiring beberapa program lain di perkampungan Orang Asli Hulu Kemensah di Gombak.

Sebanyak 26 pek makanan diedarkan kepada 26 keluarga dan hadiah duit raya pula diberikan kepada kanak-kanak.

Bantuan pek makanan berupa beras, minyak masak, telur dan bahan asas disalurkan sebagai persiapan saudara Orang Asli menyambut Ramadan.

Menurut Kamarul pada program itu, MyCare menyasarkan bantuan RM60,000 untuk dimanfaatkan Orang Asli, golongan asnaf, ibu tunggal dan juga pelarian Palestin, Syria, dan Rohingya yang berada di Malaysia.

“Ini salah satu inisiatif MyCare melebarkan jaringan kemanusiaan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” ujar Kamarul. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru