Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, mendakwa kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia membuang sekitar 17,800 tan makanan setiap hari.

Manakala Mardi menganggarkan 7.89 peratus padi hilang di sepanjang rantaian nilai pengeluaran.

Jadi, sepanjang Ramadan, kajian tersebut mendakwa rakyat Malaysia membuang 270,000 tan metrik makanan masih elok.

Secara bandingan, jika disusun, longgokan makanan ini bersamaan dengan ketinggian 30 bangunan KLCC (ketinggian KLCC 452 meter).

Sungguh malang dan “ngeri” kerana bulan Ramadan yang antaranya bertujuan mendidik masyarakat Islam agar memahami “erti kemiskinan dan kelaparan” menjadi medan menabur pembaziran dengan cara sebegitu rakus, sengaja dan bersahaja.

Tidak seratus peratus kesilapan ini terletak pada bahu masyarakat Islam yang berpuasa, kerana kajian ini merujuk kepada penyediaan makanan yang boleh disediakan oleh sesiapa sahaja di hotel mewah atau di bazar Ramadan.

Bahkan, makanan ini boleh disediakan orang Islam yang tidak berpuasa sama ada uzur atau sengaja tidak teruja menghayati Ramadan.

Malah, bufet Ramadan boleh dikomersialkan sedemikian rupa oleh premis makanan milik bukan Islam tetapi memiliki sijil halal.

Ia bukan masalah.

Jika ia dijual, bermakna ia perniagaan. Perniagaan berlaku apabila terdapat permintaan. Semakin tinggi permintaan, semakin mahal harganya, apatah lagi kalau pengeluaran terhad.

Siapa Sediakan Makanan Banyak dan Membazir Itu?

Kini, pengeluaran itu ternyata tidak terhad kalau makanan yang dibazirkan adalah seumpama setinggi 30 bangunan KLCC.

Tetapi atas nama Ramadan, pengunjung sanggup membayar harga yang mahal bagi keseluruhan hidangan di satu-satu premis yang sudah membuat untung secara marginal.

Lalu, merasakan, apa masalahnya untuk mereka buang makanan yang tidak habis kerana sudah pun dibayar oleh pengunjung tadi.

Dari segi semangat Ramadan dan semangat makanan itu, mereka terlupa falsafah Ramadan, bahawa puasa sepatutnya mengajak kita menarik nafas keinsafan ketika menghadapi hidangan makanan.

Bahawa itulah rezeki sedap yang Allah bagi kepada kita, tetapi pada masa yang sama di belahan dunia yang lain, bahkan di sebelah rumah batu kita, ada insan yang tidak mampu menyuap walau sedikit daripada makanan yang banyak itu ke mulutnya kerana kemiskinan, menderita sakit dan sebagainya.

Mengambil kira “setinggi 30 bangunan KLCC”, lalu berapa tinggi KLCCkah makanan yang sebenarnya dimakan oleh pengunjung atau pembeli sepanjang iftar Ramadan.

Perlu diingat, bukan sahaja penjualnya tidak semestinya orang Islam, dengan masyarakat berbilang kaum dan agama, budaya iftar dan berbelanja makanan Ramadan turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan mereka yang berpuasa sahaja.

Di situlah positifnya rakyat majmuk negara ini saling berkongsi dalam segala hal.

Namun, kajian perlu melihat juga jumlah makanan yang sudah dimakan dan masuk di perut, termasuk sisa makanan yang “dirosakkan” dan dibuang lalu dicampurkan dengan jumlah makanan yang masih elok setinggi 30 bangunan KLCC!

Jumlahnya terlalu banyak. Mungkin setinggi 100 kali bangunan KLCC.

Muslim Hayati Ramadan Sejati Tidak Mampu Makan Banyak

Rasanya orang yang benar-benar berpuasa dan menghayati Ramadan tidak mampu makan terlalu banyak dengan mengambil kira, perutnya tidak mampu menerima kejutan selepas berpuasa sekitar 13 jam.

Kemudian, mereka yang benar-benar menghayati Ramadan akan melakukan solat Maghrib, Isya’ kemudian tarawih yang panjang sehingga 23 rakaat.

Bagi yang benar-benar mencintai Ramadan, tidak berhenti di situ, memerlukan nafas mengalunkan al-Quran lagi, solat tahajud dan solat taubat serta solat hajat yang tiada hadnya lagi…

Justeru, di sinilah wujudnya mitos Ramadan itu.

Siapa yang makan banyak dan siapa yang membazir besar pada Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan menginsafkan.

Bulan memikirkan tentang betapa ramai orang di dunia ini “tidak makan” dan bulan Rasulullah SAW mengajar umatnya agar mengikat kain seketatnya.

Bukankah mengikat kain itu merujuk kepada memelihara nafsu, termasuk mengikat nafsu dan haloba makan yang gelojoh.

Jadi, siapa yang gelojoh pada Ramadan? Di manakah ajaran Islam itu sendiri mengajak orang berpuasa agar mengendali mulutnya, perutnya termasuk nafsunya?

Di manakah mereka menyembunyikan makanan di dalam perut yang penuh, mengambil kira hampir ratusan rukuk dan sujud yang perlu dilakukan?

Hayati seruan Lam Thye, Wan Junaidi

Lee Lam Thye benar, bahawa pihak berkuasa wajar memperkenalkan undang-undang baharu supaya individu membazir makanan didenda atau dikenakan hukuman lain bagi menimbulkan kesedaran dan memberi pengajaran kepada pesalah dan orang ramai.

Lam Thye berkata, isu pembaziran perlu dipertimbangkan dalam cadangan melaksanakan program bantuan makanan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kemiskinan Bandar.

Jadi, penguatkuasaan dan peraturan manusia masih diperlukan jika roh dan “kelas” Ramadan tidak dapat mendidik dan dihayati dengan baik umah…

Malah, seruan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesyorkan pendekatan baharu diwujudkan bagi mengatasi masalah pembaziran makanan khususnya pada Ramadan tidak berhenti di sini sahaja.

Wan Junaidi mencadangkan pihak hotel juga dibolehkan menyumbang lebihan makanan yang tidak tercemar kepada mereka yang memerlukan daripada ia dibuang begitu sahaja.

OIeh kerana kebanyakan pembaziran ini dilakukan bukan sahaja oleh yang berpuasa, kita menyarankan agar premis makanan, hotel, restoran dan bazar Ramadan yang menjadi punca kepada penyediaan makanan ini turut menyahut kempen Ramadan.

Selain menghulur bantuan kepada insan sempit di dalam negara, satu mekanisme perlu difikirkan menggunakan wang pengguna yang berbelanja banyak di premis makanan, ajak penyedia makanan ini “menghantar makanan” kepada insan lapar dan memerlukan di banyak negara lain di dunia.

Sahut Kempen MyRamadan 1438H MyCare

Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengajak rakyat Malaysia merebut peluang beramal meringankan beban manusia yang menderita di negara bersengketa melalui Kempen MyRamadan 1438H.

MyCare menyusun langkah membantu lebih 100,000 insan kurang bernasib baik di 21 negara sepanjang Ramadan dan Syawal dengan sasaran mengumpul dana bernilai RM5 juta.

Di Yaman 462,000 kebuluran melibatkan kanak-kanak.

Sementara, di Somalia seramai 944,000 kanak-kanak kekurangan zat makanan secukupnya.

Di Mosul Iraq, 330,000 pelarian keluar dari rumah mereka dan hidup serba kekurangan.

Di Gaza, bekalan makanan semakin payah diperoleh sehingga menjejaskan 2 juta penduduk Palestin yang dianggap sebagai di penjara paling besar di dunia kerana dikepung tentera rejim zionis.

Penduduk Syria di beberapa kawasan termasuk Madaya masih kebuluran akibat sekatan yang dilakukan oleh pemerintah Bashar al-Assad.

Ya, bagaimana kita boleh memikirkan satu mekanisme menukarkan wang besar yang dibelanjakan pengunjung bazar dan bufet Ramadan “menghasilkan makanan berlebihan itu” kepada pakej makanan untuk membantu orang lain?

Dalam hal ini tidak timbul mengambil keuntungan yang sedia menjadi keuntungan pemilik premis makanan atau penjual bazar Ramadan.

Nilai wang yang disentuh adalah berkaitan nilai kepada sisa makanan yang masih elok dan perlu dibuang.

Perlu difikirkan satu kaedah atau cara sebelum makanan dihasilkan, agar tidak berlaku pembuangan makanan masih elok setinggi 30 kali bangunan KLCC tadi.

Lalu tukarkan kepada pakej makanan berupa makanan kering untuk dihulurkan ke 21 negara yang menderita kerana krisis kemanusiaan. – Sarawakvoice