SARIKEI: Seorang lelaki bernasib baik biarpun tersepit setelah kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Bukit Kayu Malam, Sebangkoi, dekat sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 5.01 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei.

“Setiba di lokasi 23 minit kemudian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Iswara.

“Seorang mangsa lelaki tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu manakala tiga lagi penumpang lain dari kenderaan yang sama telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Kesemua mereka kemudian dihantar menggunakan kenderaan persendirian ke hospital.

Kata Ling Hii, pasukannya setelah itu berjaya mengeluarkan mangsa, Will Ringgit, 40 tahun sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik.

“Mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan kaki.

“Seorang lagi mangsa iaitu pemandu kenderaan Perodua Viva turut selamat dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan telah dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Sri Aman,” katanya lagi. – Sarawakvoice