KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengerahkan pegawai-pegawai penguat kuasanya memantau aktiviti perniagaan Bazar Ramadan di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata, penempatan pegawai-pegawai ini untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menjual barangan pada harga yang tinggi, terutamanya melibatkan barang kawalan.

“Ia juga bagi memastikan para peniaga tidak melakukan kesalahan dengan mencatut harga,” katanya ketika ditemui sewaktu mengadakan lawatan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Gawai di pasar raya Servey di sini.

Jelasnya, lebih 2,600 pegawai penguat kuasanya akan menjalankan tugas harian ini di seluruh negara, termasuk 300 di Sarawak.

“Proses pemantauan ini juga dibantu oleh lebih seribu pegawai pemantau harga KPDNKK yang tidak memakai berpakaian preman.

“Pemantauan katanya dilakukan setiap hari melibatkan semua bazar Ramadan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau sebanyak 13 item telah disenaraikan sebagai barang kawalan sempena sambutan Gawai kali ini termasuk ayam, telur, kobis, bawang putih dan babi.

“Untuk barang kawalan ini, para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

Sebarang pelanggaran terhadap barangan harga kawalan ini katanya, akan menyebabkan individu atau syarikat diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Individu yang menjual melebihi harga maksimum akan didenda sehingga RM100 ribu atau penjara tidak lebih tiga tahun, serta kompaun RM50 ribu.

“Syarikat yang terlibat pula akan didenda hingga RM500 ribu dan kompaun sehingga RM250 ribu.

Kata Henry, peniaga yang gagal meletak tanda harga pula akan didenda sehingga RM10 ribu dan kompaun RM5 ribu.

“Manakala syarikat akan didenda sehingga RM20 ribu dan kompaun RM10 ribu.

Tahun lalu, sebanyak lapan kes telah dicatatkan kerana melanggar peraturan skim ini.

Perayaan Gawai Dayak akan disambut pada 1 Jun depan, manakala skim ini berlangsung dari 27 Mei hingga 2 Jun. – Sarawakvoice