Mantapkan perniagaan anda, sertai Seminar Kecemerlangan Perniagaan Ogos ini

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganjurkan Seminar Kecemerlangan Perniagaan dan Forum 2017 kali ketiga pada 23 Ogos depan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Seminar yang dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tersebut diangka disertai sekitar 350 peserta.

Menurut Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Tengku Azmi Tengku Majid program bermanfaat untuk organisasi perniagaan dan komuniti itu mengundang tiga speaker iaitu Prof. Dr. Rakiful Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pengurus Operasi Brahim SATS Food Service Sdn Bhd Mahad Imin dan Pengarah Urusan Senari Synergy Sdn Bhd Jefri Ahmad Tambi.

Seminar dimoderatorkan oleh Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman dari Universiti Putra Malaysia.

Seminar dan forum kali ini menurut beliau berlangsung sehari suntuk bagi memberi peluang peserta luar Kuching mendapat manfaat input dengan speaker, selain bertukar-tukar pengalaman dengan peserta lain sepanjang program berlangsung.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan  MPC Lean Implementation Workshop For Manager Program pada Jumaat, Tengku Azmi mengaku, selepas dua tahun program sebelum ini berlangsung, beliau dapati banyak organisasi di Sarawak memahami maksud program Kecemerlangan Perniagaan.

Tengku Azmi berkata, MPC memfokuskan untuk memupuk dan memastikan langkah dalam amalan kecemerlangan perniagaan dalam mana-mana organisasi dapat dilaksanakan dengan efektif.

Beliau mempelawa organisasi perniagaan yang sedia memantapkan perniagaan mereka menyertai seminar dan forum ini. – Sarawakvoice